Rakyat Resah Kenaikan Harga Diesel Sebabkan Barang Makin Mahal

MARANG, 11 Jun - Rata-rata pengguna kenderaan diesel menyuarakan pandangan bahawa kenaikan harga bahan mentah itu akan memberi impak terhadap kenaikan harga barang selain mengakui terbeban dengan pertambahan perbelanjaan.

Pemandu lori, Fazhli Ghazali, 52, mempersoalkan apa rasionalnya kerajaan melaksanakan penyasaran subsidi di Semenanjung Malaysia yang menyebabkan semua golongan terpalit.

"Tergamak naikkan sehingga RM1.20, sepatutnya tak payah kacau subsidi itu kerana ia akan memberi kesan kepada kenaikan harga barang.

"Selama ini pembekal barang-barang mentah dan keperluan rakyat tidak menggunakan kereta untuk menghantar barangan tersebut, semuanya menggunakan kenderaan diesel.

"Dia (Dato' Seri Anwar Ibrahim) yang selama ini beria-ria menjanjikan harga minyak turun apabila jadi Perdana Menteri hanyalah auta.

"Sebaliknya bila berada di tampuk kekuasaan langsung tidak mengambil kisah apa akan jadi terhadap segala tindakan yang dibuat dibimbangi tidak lama lagi minyak petrol pula akan naik," ujarnya ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) hari ini.

Sementara itu, bagi Mohd Faizudin Ishak, 30, yang turut menggunakan kenderaan diesel untuk perniagaan milik persendirian berkata, kenaikan harga bahan mentah itu memang mengejutkan.

"Saya ada mengisi permohonan untuk dapatkan Budi Madani bagi mendapatkan bantuan RM200 sama ada berupaya meringankan beban ataupun tidak memandangkan saya masih baru lagi memakai kenderaan ini untuk perniagaan sendiri.

"Tentang kenaikan harga barang itu kita tunggu sebulan ini apa kesan daripada kenaikan harga Diesel ini," ujarnya.

Bagi pengguna kenderaan diesel persendirian Malik Safrizan Umar, 38, menyatakan dia turut terkejut dengan kenaikan harga diesel itu.

"Rasanya macam tidak padan dengan bantuan RM200 itu dengan kenaikan yang agak ketara.

"Mengenai kenaikan harga barangan saya rasa ia akan terjadi kerana semua kebanyakan kenderaan perdagangan menggunakan diesel.

"Perjalanan dekat mungkin tidak akan terasa, tetapi kenderaan perdagangan yang memerlukan perjalanan jauh sudah tentu akan terpaksa menilai semula kos baru yang akan ditanggung," ujarnya.