Oleh : Asraf Ikhwan
DUNGUN, 12 Oktober - Golongan belia perlu didedahkan dengan politik Islam supaya mereka mempunyai kesedaran untuk turut terlibat mendaftarkan diri sebagai pengundi dan bertanggungjawab memilih pemimpin.
Tokoh Belia Ma'al Hijrah 1442H Daerah Dungun, Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli berkata, perkembangan politik mutakhir ini memerlukan kefahaman anak muda yang jelas tentang politik Islam.
"Anak-anak muda ini akan turut terlibat sebagai peserta demokrasi yang akan mewujudkan serta akan membentuk suasana yang baru kepada negara dalam memastikan pemimpin yang berakhlak baik, berintegriti dan melaksanakan tanggungjawab dengan penuh amanah akan terpilih bagi menerajui negara.
"Konsep memilih pemimpin pada sesebuah negara juga amat dititikberatkan dalam Islam, gagalnya anak-anak muda untuk turut terlibat dalam menjadi pengundi apabila Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 nanti, akan menyebabkan negara akan dikuasai oleh golongan tidak sepatutnya.
"Lebih teruk lagi apabila dikuasai oleh pemimpin yang berfikiran liberal, berideologi sekular, dan sebagainya yang akan membawa kesan yang buruk terhadap rakyat dalam negara ini serta negeri ini secara khususnya.
"Sebagai rakyat di negara ini, sewajarnya pemimpin yang benar-benar berintegriti, mencontohi akhlak Rasulullah SAW diangkat menjadi pemimpin di negara agar membawa kepada keadilan dan kesejahteraan untuk dinikmati seluruh rakyat," ujarnya.
Beliau berkata demikian, ketika dihubungi pemberita, semalam.
Mengulas mengenai usaha kerajaan negeri ini dalam memartabatkan pemerintahan berteraskan Islam, beliau berkata ia sewajarnya dipertahankan.
"Untuk memastikan kerajaan sedia ada ini kekal adalah menjadi tanggungjawab anak-anak muda pada hari ini untuk mendaftarkan diri untuk turut menjadi pengundi dalam melaksanakan tuntutan sebagai rakyat Malaysia yang bercita-cita mahu melihat negara ini sentiasa berada dalam keadaan baik.
"Perlembagaan yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi, serta melaksanakan undang-undang Islam akan dapat dikekalkan demi kepentingan rakyat, serta masyarakat majmuk yang berbilang kaum dalam negara dapat hidup dalam suasana penuh harmoni," ujarnya.
Jelasnya, dalam menyedarkan anak muda terhadap Islam yang syumul meliputi politik, ekonomi dan sosial menjadi tanggungjawab semua pihak termasuk kerajaan bagi digerakkan usaha-usaha tertentu.
"Mereka merupakan generasi pada hari ini yang terdedah kepada pelbagai sumber maklumat, penyampaian dakwah perlu dilakukan menerusi media sosial dengan kreatif dan inovasi yang menepati citarasa golongan berkenaan pada masa kini," ujarnya.