MARANG, 10 Jun - Seorang penerima kunci rumah di bawah projek Rumah Mampu Milik (RMM) Kemas Sejahtera di sini yang merupakan usahasama antara kerajaan negeri dan Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) menyifatkan rumah baharu yang diterimanya sebagai rezeki kelahiran anaknya yang ketiga.
Zulazri Hafiz Zukilfi, 40, berkata, dia bersama lima ahli keluarganya bersyukur kerana impian untuk memiliki kediaman sendiri tercapai.
“Kami sekeluarga tidak pernah jemu membuat permohonan RMM, setiap kali ada iklan tawaran kami mohon, kiranya hampir 13 tahun dan alhamdulillah akhirnya hari ini kami menerima kunci rumah bagi projek RMM Kemas Sejahtera ini (dahulu dikenali sebagai My Beautiful New Home- MyBNHome).
“Terima kasih kepada semua pihak terlibat terutamanya kerajaan negeri. Saya sangat gembira dan terharu, mungkin ini rezeki anak yang baru lahir,” ujarnya.
Zulazri yang merupakan bapa kepada tiga orang cahaya mata berusia antara 12 tahun hingga 7 bulan itu ditemui pemberita pada Majlis Penyerahan Kunci RMM Kemas Sejahtera yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Kampung Mak Kemas, di sini hari ini.
Sementara itu, Luqman Hakim Sharif, 33, memberitahu, dia memohon untuk mendapatkan rumah itu sebelum perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat Covid-19 dan bersyukur kerana segala urusannya dipermudahkan.
“Saya sangat teruja sebenarnya kerana tidak sangka dapat memiliki rumah ini. Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat,” katanya.
Luqman Hakim bersama isteri, Jamaliah Jusoh, 29, tahun bersama dua anak sebelum ini menumpang di rumah neneknya yang terletak di kampung Atas Tol.