Riben Putih Tanda Protes
KUALA LUMPUR, 15 Julai- Hari ini, Ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) hadir ke Dewan Rakyat dengan mengenakan lilitan riben putih di lengan kiri sebagai tanda protes terhadap keputusan Speaker Dewan Rakyat baru-baru ini.
Tindakan Speaker Dewan Rakyat memutuskan kerusi enam bekas Ahli Parlimen Bersatu yang telah menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri adalah kekal dan tidak berlaku kekosongan merupakan kemuncak kepada kegagalan demi kegagalan kerajaan semasa.
Memperguna Perlembagaan dengan pendefinisian peribadi demi menguntungkan parti adalah satu tindakan yang serius dan sangat tidak berintegriti oleh golongan pemerintah.
Oleh itu, Ahli-ahli Parlimen PN bertegas dan tidak berkompromi dengan salah laku ini seraya sepakat mengenakan lilitan riben putih yang mana tindakan ini tidak menyalahi peraturan mesyuarat 41(f).
Selain sebagai tanda protes, tindakan ini sedang menghantar signal penting kepada semua pihak bahawa tiada lagi reformasi seperti yang dilaungkan oleh pihak kerajaan.