• 05 Nov 2024 | 03 Jamadil Awal 1446

KUALA TERENGGANU, 13 Disember – Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Hishamuddin Abdul Karim mengadakan kunjungan ke atas pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim baru-baru ini.

Hishamuddin yang juga merupakan Presiden Bola Sepak Terengganu berkata pertemuan tersebut bertujuan bagi mendengar pandangan dan saranan untuk mengangkat industri bola sepak di tanahair.

Katanya, di luar padang, Terengganu Football Club (TFC) tetap memburu bimbingan daripada pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor untuk terus memperkasakan pasukan. 

“Baginda sentiasa bersikap terbuka dan sangat berbesar hati untuk melihat pasukan TFC menjadi pasukan yang perlu digilap untuk masa depan yang lebih baik dalam kancah bola sepak negara.

“Sedar dengan keadaan semasa, tentunya TFC sentiasa mengukur baju di badan sendiri dan memperkasakan pembentukan bakat-bakat baru Terengganu yang lebih berprestij,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam hantaran di laman facebook rasmi miliknya pada hari ini.

Tambah Hishamuddin, sekalipun tewas dalam perlawanan akhir Piala Malaysia di tangan pasukan JDT namun TFC akan terus berusaha untuk bangkit walau dalam serba kekurangan. 

Tambahnya, musim depan akan menjadi sangat mencabar dalam aspek kewangan kelab menyebabkan TFC akan berusaha berbelanja dengan sederhana.

Beliau berkata, pasukan JDT yang serba lengkap dan menjadi model buat pasukan bola sepak lain di tanah air akan terus dijadikan model buat TFC.

“Saat bersaing di padang, TFC pasti akan memberikan saingan yang paling kompetatif menentang JDT.

“Terima kasih Tunku Mahkota Johor dan pemilik kelab bola sepak JDT atas perkenan menerima rombongan patik tempoh hari,” ujarnya.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 


Tag: