Royalti : Terengganu Sambut Baik ‘Janji’ Persekutuan

KUALA LUMPUR, 11 Mac – Kerajaan Terengganu menyambut baik ‘janji’ Kerajaan Persekutuan untuk kembali berbincang mengenai royalti petroleum negeri itu terutama membabitkan baki bayaran tahun lalu yang belum dilunaskan serta peruntukan untuk tahun mendatang.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, beliau menghargai komitmen dan jawapan daripada Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berhubung perkara itu pagi tadi.

“Antara intipati penting disebut ialah mereka terbuka untuk melakukan perbincangan atas apa jua perkara mengenai wang royalti ini terutama dalam melaksana projek-projek infrastruktur dan membasmi kemiskinan.

“Kita ucapkan terima kasih atas jawapan Menteri Kewangan II, selepas ini kita akan terus melakukan perbincangan bagi merealisasikan hasrat rakyat Terengganu,” katanya kepada media sebentar tadi.

Terdahulu, Amir Hamzah ketika sesi penggulungan Menteri memaklumkan, pihaknya sedia berunding dengan Kerajaan Negeri berkait tuntutan bayaran royalti petroleum.

“Seperti yang saya katakan tadi, Kementerian Kewangan sedia berbincang untuk projek-projek yang dapat membantu rakyat terutamanya dalam isu infrastruktur dan rakyat miskin, semoga ia mengurangkan beban rakyat,” katanya

Pada 5 Mac lalu, Ahmad Samsuri menyuarakan isu penyaluran royalti petroleum yang diharapkan oleh 1.2 juta rakyat Terengganu ketika membahaskan usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Kebawah DYMM Seri Paduka Baginda Yang di- Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Ahli Parlimen Kemaman itu berkata wang royalti atau disebut oleh Kerajaan Persekutuan sebagai Wang Ehsan dan Dana Khas yang diterima sejak sekian lama itu agar dapat diteruskan tanpa sebarang kelewatan.

Katanya, ia perlu mengikut jadualnya yang diamalkan sejak puluhan tahun.

“Untuk rekod, perlu diingatkan bahawa penerimaan dana oleh Kerajaan negeri Terengganu atas nama 'royalti pertroleum' dari Tahun 1978 hingga 1999 adalah secara terus dari PETRONAS tanpa melalui pihak ketiga.

“Sudah tentu, Kerajaan Madani yang ada pada waktu ini tidak mahu dibaca dalam buku sejarah oleh generasi yang akan datang, sebagai pihak yang tidak membayar wang royalti berkenaan, yang masih berbaki untuk tahun 2023,” jelasnya.

Berdasarkan rekod juga, Ahmad Samsuri difahamkan sudah kerap kali berbincang tentang isu terbabit dengan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan I pada tahun lalu.


Tag: