SETIU, 9 Januari - Budaya hedonisme yang mementingkan keseronokan terlampau perlu dibendung segera terutamanya dalam golongan belia yang kian berlarutan ketika ini.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata ia bagi membentuk negara dan masyarakat yang lebih sihat melalui pendekatan hidup bersyariat.
Katanya ia susulan kes kematian yang telah melibatkan empat kematian dalam anjuran sebuah konsert di Bandar Sunway, Subang Jaya baru-baru ini.
“Itu yang malangnya kepada negara kita apabila tidak ada batas dan juga kerajaan madani yang kita lihat sangat longgar dalam aspek hiburan ini.
“Sehingga tidak ada satu garis panduan yang boleh menjaga dan memelihara anak muda kita.
“Hiburan yang melampau sehingga menjadi matlamat dalam bukan lagi sebagai satu wasilah tetapi sehingga menjadi satu matlamat dalam hidup," katanya.
Beliau berkata demikian kepada Urus Setia penerangan Darul Iman, selepas perasmian Program Karnival Indahnya Hidup Bersyariat dan Bulan Penghayatan Israk Mikraj (BPIM), di Masjid Kg. Putera Jaya, semalam.
Tambahnya, melalui pendekatan berhibur dalam agama Islam yang berlandaskan konsep wasatiyyah sepatutnya menjadi garis panduan dalam kalangan masyarakat untuk berhibur.
Mengulas lebih lanjut, hiburan tanpa batas yang menjurus kepada pergaulan bebas, pengambilan bahan terlarang dan haram yang memabukkan di luar kawalan.
Menurutnya, ia juga menyebabkan berlakunya insiden serius tidak diingini sehingga menyebabkan berlakunya kematian.
Jelas beliau lagi, Islam tidak mengharamkan hiburan sepenuhnya kerana ada hiburan-hiburan yang diizinkan.
“Itulah konsep wasatiyyah dan itulah apa yang kita laksanakan di negeri Terengganu, antaranya melalui pendekatan hidup bersyariat dan bukan sebagaimana yang kita lihat berlaku baru-baru ini.
" Is seolah-olah hiburan telah menjadi sesuatu keperluan penting yang tidak boleh ditinggalkan.
“Hiburan ini adalah fitrah kepada fitrah kepada manusia. Namun, apa yang Islam lakukan ilah Islam memandu kita supaya tidak terbabas dalam hiburan," katanya.