Sidang Kemuncak Antarabangsa Terengganu Kecam Genosid di Palestin
Sabasun Kelima Mula Operasi Di Kijal
Oleh: Alfian Mamad
KEMAMAN, 17 Mei - Rangkaian pasar raya Sabasun Hyperruncit Sdn. Bhd. terus melangkah ke hadapan dengan pembukaan cawangannya yang kelima di Bandar Baru Kijal kelmarin.
Pengarah Urusannya, Salmi Ibrahim ketika ditanya tentang strateginya memberitahu, Sabasun dapat bertahan selama 25 tahun berkat sokongan berterusan daripada rakyat Terengganu.
"Ini adalah berkat sokongan kuat daripada warga Terengganu yang membuat kami terus bertahan sehingga ke hari ini. Terima kasih buat semua warga Terengganu," kata beliau.
Beliau juga berharap dapat meneruskan perkhidmatan membekalkan makanan yang halal dan tidak meragukan kepada masyarakat setempat.
"Insya-Allah kami akan terus membekalkan makanan yang 'halalan toyyiba' kepada penduduk Terengganu khususnya kawasan Kijal dan Kemaman," ujar beliau lagi.
Sementara itu, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal, Hazri Jusoh turut berbangga dengan kejayaan syarikat anak Terengganu tersebut.
"Sabasun adalah salah satu syarikat bumiputera yang berjaya mengendalikan perniagaan runcit yang begitu besar.
"Syabas dan tahniah kepada Sabasun dan seluruh warga kerjanya kerana ini sekali gus memudahkan rakyat Kijal untuk membuat pembelian," katanya.
Turut hadir, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kemaman (MPK), Jusman Ibrahim, Setiausaha MPK, Ahmad Nazwawi Harun, Ahli Majlis MPK berserta beberapa pegawainya.
Sabasun di Kijal beroperasi di bangunan yang sama menggantikan Giant Kijal yang telah menamatkan operasinya tempoh hari disebabkan oleh perkara yang tertentu.