Sidang Kemuncak Antarabangsa Terengganu Kecam Genosid di Palestin
KUALA NERUS, 15 Julai- Kedah Darul Aman FC (KDA FC) kalah lagi di tangan Terengganu Football Club (Terengganu FC), kali ini dengan skor 2-1 dalam aksi Liga Super Malaysia, sebentar tadi.
Sang Penyu sekali lagi melayan kunjungan Sang Kenari di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) dengan Nafuzi Zain mengekalkan barisan sama untuk mengekang anak-anak buah Aidil Sharin Sahak.
Permainan bermula pantas dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan untuk mendapatkan jaringan awal.
Pada minit ke-13, lorongan Petrus Shitembi membolehkan Faisal Halim lolos di bahagian kanan gol.
Pemain sayap kebangsaan itu kemudian mudah menghantar bola untuk dikuis Kpah Sherman bagi gol pertama tuan rumah.
KDA FC cuba bangkit namun Terengganu FC lebih banyak menguasai bola.
Peluang pelawat hadir pada minit ke-36 apabila Muhammad Ariff Farhan melakukan rembatan kencang yang menewaskan penjaga gol, Mohd Suhaimi Husin, tetapi sayangnya bola hanya menggegarkan palang gol.
Keputusan kekal sehingga separuh masa pertama ditamatkan dengan Terengganu FC selesa mendahului.
KDA FC memulakan babak kedua dengan mengatur lebih serangan ke kubu tuan rumah.
Bagaimanapun, Sang Penyu lebih bijak bertahan dengan serangan balas melalui trio serangan mereka.
Pada minit ke-56, tuan rumah terus menambah duka pelawat menerusi rembatan leret Manuel Ott untuk gol kedua Terengganu FC.
Pada minit-minit terakhir perlawanan, Azamuddin Akil cuba menghidupkan peluang KDA FC selepas merapatkan kedudukan dengan rembatan dari jarak dekat.
Namun, tambahan masa lima minit yang diberikan tidak berjaya dimanfaatkan pelawat untuk membawa pulang satu mata.
Keputusan kekal 2-1 sehingga tamat perlawanan.
Keputusan tersebut membawa Terengganu FC mendaki ke tangga keempat Liga Super Malaysia dengan 16 mata melalui sembilan perlawanan.