Berita :
Santuari Ikan Kelah Bakal Jadi Tarikan Baharu Pelancongan Hulu Besut
Santuari Ikan Kelah Bakal Jadi Tarikan Baharu Pelancongan Hulu Besut
Norekwan Mamat
1 hari yang lepas
194

BESUT, 1 Julai – Sebanyak 500 ekor anak ikan kelah dilepaskan di Taman Eko Rimba Lata Tembakah sebagai langkah permulaan pembangunan Santuari Ikan Kelah yang dijangka menjadi produk eko-pelancongan baharu dan pemangkin ekonomi di DUN Hulu Besut.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin berkata, pembangunan santuari itu bukan sahaja bertujuan memulihara spesies ikan kelah, malah mampu menjadi tarikan baharu kepada pelancong dari dalam dan luar negeri.

Katanya, Taman Eko Rimba Lata Tembakah dijangka dibuka semula kepada orang ramai pada Ogos ini selepas selesai menjalani proses penambahbaikan.

"Usaha ini diharapkan dapat memberi manfaat kepada masyarakat, memelihara khazanah alam semula jadi serta menjadi kebanggaan warga Hulu Besut. 

"Saya juga mengajak seluruh masyarakat untuk bersama-sama menyokong produk baharu yang julung kali diwujudkan di Hulu Besut ini agar ia terus berkembang dan memberi impak positif kepada sektor pelancongan negeri,” jelasnya ketika ditemui pihak media, semalam.

Sementara itu, beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah menjayakan inisiatif berkenaan, khususnya Jabatan Perikanan Negeri Terengganu, Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu, Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Pejabat Daerah Besut serta semua agensi yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung.

Dalam masa yang sama, Husaimi turut menzahirkan penghargaan kepada Koperasi Kampung Bekok yang dipimpin oleh Abe Fauzi atas komitmen mengurus dan memelihara Santuari Ikan Kelah tersebut.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan