SIDANG DUN : Kerajaan Negeri Disaran 'Matangkan' Orang Muda

KUALA TERENGGANU, 16 November – Kerajaan negeri disaran agar memberi perhatian khusus kepada isu pembangunan generasi muda dan belia terutamanya golongan berumur 18 tahun ke atas yang berdepan cabaran undi 18, ekonomi dan sosial.

Perkara tersebut disuarakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi yang menyifatkan pembangunan generasi muda bukan sekadar dalam kesukanan sahaja.

“Kita perlu didik mereka dalam acuan Islam, contohnya pada zaman Turki Uthmaniyah di mana mereka bina hostel berdekatan dengan masjid.

“Walaupun di Terengganu tidak boleh mengikutinya 100 peratus, namun program kearah tersebut boleh diadakan contohnya penyediaan pusat-pusat sukan berhampiran masjid.

“Ini memudahkan usaha tarbiah, kerana apabila kita bina tempat permainan berdekatan yang memudahkan kerja dakwah secara langsung,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa perbahasan Bajet 2022 di Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Belas (Bajet) di Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Sementara itu, ADUN Ajil, Maliaman Kassim turut menyuarakan sentimen sama berkenaan kurang kesedaran hal ehwal persekitaran seperti politik, ekonomi dan sosial dalam kalangan anak muda.

“Kita harapkan kerajaan memberi tumpuan serius terhadap remaja supaya mereka mendapat hala tuju dan perkembangan semasa.

“Antara perkara dicadangkan adalah kita perlu mengetengahkan produk politik yang dapat menarik perhatian mereka terutamanya politik bersifat matang,” jelasnya.