• 22 Okt 2024 | 19 Rabiul Akhir 1446

Mangsa Banjir Akan Didaftar Melalui Kod QR

KUALA TERENGGANU, 21 Oktober – Inisiatif pendaftaran mangsa banjir melalui penggunaan Kod QR di Terengganu telah diperkenalkan bagi memudahkan mangsa banjir dan agensi terlibat.

Pengerusi Khidmat Malaysia, Hanafiah Mat berkata, sistem itu berfungsi sebagai medium untuk mengumpul data, sekali gus memudahkan penyelarasan penyaluran bantuan semasa dan pasca bencana serta mempercepatkan proses pendaftaran mangsa.

“Semua keputusan mesyuarat yang telah dibuat di peringkat negeri dan daerah akan dilaksanakan sepenuhnya apabila banjir berlaku tahun ini. 

“Saya difahamkan bahawa Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan menggunakan pendaftaran melalui kod QR pada tahun ini.

“Ini bagi memastikan semua mangsa banjir mendaftar dengan JKM, walaupun mereka tidak tinggal di Pusat Pemindahan Sementara (PPS), kerana kita bimbang ada yang tercicir daripada senarai bantuan,” jelasnya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri Terengganu (Pengurusan Bencana) berkata demikian ketika dihubungi pada hari ini.

Hanafiah juga mengingatkan bahawa Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Khidmat Malaysia dan Pejabat Daerah perlu bekerjasama untuk memastikan segala tugas dilakukan dengan lancar.

“Saya juga ingin memastikan bahawa semua ahli Khidmat Malaysia di setiap daerah bersiap siaga untuk turun serta-merta apabila banjir berlaku, dengan kekuatan maksimum, bagi membantu agensi keselamatan dan mengikuti arahan komandan banjir di lapangan, iaitu Ketua Polis Daerah.

“Arahan semasa banjir akan datang daripada komanden banjir, namun bagi kerja-kerja pasca banjir, arahan akan dikeluarkan oleh Khidmat Malaysia Terengganu atau saya sendiri, khususnya untuk usaha pembersihan selepas banjir,” ujar beliau.

Justeru itu, Hanafiah berharap semua pihak agar melaksanakan tugas dengan baik dan menjadi contoh teladan kepada masyarakat Terengganu. 

“Khidmat Malaysia harus berada di barisan hadapan dalam memberi kebajikan kepada rakyat, terutama ketika mereka dalam kesusahan.

“Saya juga ingin mengingatkan kepada semua ibu bapa dan orang ramai agar memastikan anak-anak tidak bermain di kawasan yang berisiko seperti tepi sungai, pantai atau parit besar semasa musim hujan serta pastikan keselamatan mereka dijaga dengan baik agar tiada kejadian tidak diingini berlaku.

“Persiapkan harta benda kita seperti yang telah disarankan oleh pihak berwajib, sama ada daripada pihak Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) atau kerajaan, dan ambil langkah berjaga-jaga yang sewajarnya semasa banjir,” tambah beliau lagi.


Tag: