SK Bukit Losong Terima Sumbangan Meja, Kerusi Baharu
KUALA TERENGGANU, 24 Mac – Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Losong menerima sumbangan sebanyak 140 set meja dan kerusi baharu bagi menggantikan perabot lama yang telah usang, sekali gus meningkatkan keselesaan pelajar dalam sesi pembelajaran.
Guru Besar SK Bukit Losong, Wan Nor’izah Wan Nawi, menzahirkan rasa syukur atas pemberian tersebut yang memberi manfaat besar kepada pelajar di empat kelas, khususnya dalam memastikan suasana pembelajaran lebih kondusif.
“Saya amat berterima kasih kepada Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah atas keprihatinan beliau dalam memastikan keselesaan anak-anak pelajar di sekolah ini,” katanya kepada pemberita selepas menerima sumbangan tersebut, hari ini.
Beliau turut berharap penyediaan kemudahan yang lebih baik itu akan membantu meningkatkan kehadiran pelajar ke sekolah, kerana persekitaran yang selesa mampu memberi motivasi kepada mereka untuk hadir dan belajar dengan lebih bersemangat.
Dalam pada itu, Wan Nor’izah turut meluahkan rasa terkejut serta kagum dengan kesanggupan Wan Sukairi yang hadir sendiri untuk menyerahkan sumbangan tersebut.
“Saya benar-benar terkejut dan terharu melihat kesungguhan YB Dato’ yang bukan sahaja hadir sendiri ke sekolah untuk penyerahan, malah turut membantu mengangkat meja dan kerusi bersama guru-guru serta petugas sekolah. Ia menunjukkan keprihatinan beliau terhadap pendidikan anak-anak di sini,” ujarnya.
Sementara itu, Wan Sukairi memaklumkan bahawa sumbangan tersebut disalurkan secara berperingkat dengan 80 set meja dan kerusi telah diserahkan terlebih dahulu kepada pihak sekolah pada hari ini.
“Jumlah keseluruhan sumbangan ialah 140 set, dan kami berharap ia dapat memberikan keselesaan serta kemudahan kepada anak-anak dalam menuntut ilmu,” ujarnya.
Beliau turut menjelaskan bahawa Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Wakaf Mempelam telah memperuntukkan sebanyak RM28,000 bagi membiayai sumbangan ini, sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan kualiti pembelajaran di sekolah tersebut.
“Semoga sumbangan ini memberi manfaat besar kepada pelajar dan membantu mereka menimba ilmu dalam suasana yang lebih selesa serta kondusif,” tambahnya.
Selain itu, beliau juga berharap sumbangan ini dapat membantu mengurangkan bebanan pihak sekolah dan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu dalam memastikan kemudahan asas pelajar sentiasa dalam keadaan baik dan mencukupi.
“Saya sentiasa terbuka untuk membantu sekolah-sekolah di DUN Wakaf Mempelam yang memerlukan sebarang bentuk sokongan, sama ada dalam aspek kemudahan, kebajikan pelajar atau pembangunan pendidikan secara keseluruhan,” katanya.
Turut hadir dalam majlis penyerahan ini ialah Naib Yang Dipertua PIBG, Ir. Ts. Ahmad Azhan Suhaili, yang turut sama menyaksikan penyampaian sumbangan serta menzahirkan penghargaan atas usaha bersama dalam memastikan kebajikan pelajar sentiasa terjaga.