Solat Jumaat Pertama Selepas Sebulan

KUALA TERENGGANU, 2 Julai - Solat Jumaat di masjid di seluruh Terengganu hari ini merupakan yang pertama diadakan di masjid itu semenjak Sekatan Pergerakan Penuh Fasa 1 berkuat kuasa pada 1 Jun lalu.

Tinjauan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) mendapati jemaah yang tiba di pintu masuk masjid diminta oleh pengawal agar mencatat butiran diri selain menjalani pemeriksaan suhu badan sebelum dibenarkan memasuki pekarangan masjid.

SOP sama dilaksanakan sejurus tiba di dewan solat di mana kelihatan beberapa penanda diletakkan setiap satu meter sebagai petunjuk tempat jemaah boleh berdiri menunaikan solat Jumaat.

Rata-rata jemaah yang hadir turut mengatakan kesyukuran serta kegembiraan kerana dapat menyempurnakan ibadat tersebut.

Semalam, Terengganu mengumumkan kebenaran solat Jumaat berkuat kuasa hari ini dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Solat Jumaat dibenarkan dengan bilangan jemaah seramai 40 orang tidak termasuk pegawai dan AJK masjid.

Bagi kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), solat Jumaat dan solat jemaah masih tidak dibenarkan.

 


Tag: