Songket Kak Nah ‘Iringi’ Pertabalan Agong

KUALA TERENGGANU, 24 Julai - Tugas rumit namun rasa bangga mengatasi segala-galanya apabila diberi kepercayaan menenun songket untuk  membuat sampin, Tengkolok Diraja dan Bengkung Yang di-Pertuan Agong ke-17, Sultan Ibrahim bagi upacara pertabalan yang telah berlangsung pada Sabtu, baru-baru ini.

Apatah lagi ketika menyaksikan lintas langsung hari pertabalan Baginda Tuanku yang sudi mencemar duli menyarungkan hasil tenunannya, anak kelahiran Terengganu itu cukup teruja untuk berkongsi perasaan gembira bersama ahli keluarga tercinta.

Berkongsi pengalaman, Maznah Mat, 62, yang lebih dikenali sebagai Kak Nah dari Chendering berkata dia tidak pernah menyangka kunjungan daripada beberapa pihak istana pada awal Mac, rupanya membawa perkhabaran gembira buatnya dan anak-anak.

“Ketika itu, saya ditanya adakah sanggup  untuk menghasilkan satu persalinan songket terdiri dari sampin, bengkung serta Tengkolok bagi  pertabalan Yang di-Pertuan Agong, dan tanpa berfikir panjang, terus bersetuju menerimanya.

“Namun rasa takut mula muncul ketika proses menyongket kerana terlintas difikiran satu perasaan jika tersilap atau Tuanku Sultan tidak berkenan dengan sentuhannya tetapi semuanya berakhir apabila pihak Istana memaklumkan bahawa songket yang dihasilkan cukup cantik dan sempurna,”ujarnya.

Menerangkan proses penghasilan songket, Kak Nah yang berpengalaman sejak berusia 14 tahun berkata, dia dibantu oleh anaknya Syarifah Hanisha Tuan Wook, 22, yang berkelulusan  Diploma Jurusan Tenunan Institut Kraf Negara, Rawang bagi membuat lakaran graf berdasarkan corak  daun gambir dan lada hitam yang diberikan.

Menurut ibu kepada tujuh anak itu, proses pembuatannya mengambil tempoh yang lama kerana ia adalah kerja tangan sepenuhnya bermula dengan menerai benang, menganing benang, menggulung, menyapuk benang, mengarat, menyongket dan menenun.

Katanya lagi, kerja penenunan songket membabitkan proses rumit selain memerlukan perhatian dan kesabaran tinggi namun keindahan setiap hasil memberi kepuasan buat dirinya.

“Menggunakan benang sutera yang berkualiti, Kak Nah bekerja siang dan malam bagi menyiapkan persalinan Diraja itu dalam tempoh tiga bulan dengan pemantauan berkala  daripada pihak Istana.

“Kita hanya mahukan yang terbaik dan sempurna. Apabila sesuatu istiadat telah selesai dan Tuanku berpuas hati, saya juga senang hati kerana dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan baik,” ujarnya yang turut dibantu seorang lagi anak perempuannya Syarifah Hazira Tuan Wook, 30.

Tambah Kak Nah,dia juga sering menerima tempahan  kerabat Diraja Selangor dan pembesar-pembesar istana untuk menyiapkan persalinan untuk Hari Keputeraan Tuanku Sultan Selangor sejak tahun 2000.

 


Tag: