STPM 2018: Terengganu Cipta Sejarah Pencapaian





KUALA TERENGGANU, 11 Mac- Terengganu berjaya mengekalkan sebagai negeri terbaik dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2018 yang diumumkan hari ini, selain  turut melakar sejarah tersendiri apabila mencatatkan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 2.99.

Pengarah Pendidikan negeri, Shafruddin Ali Hussin berkata, pencapaian terbaik itu sekali gus mengatasi PNGK Kebangsaan 2.80.

Katanya, seramai 47 calon mendapat semua A penuh (Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.0) berbanding 23 calon pada tahun sebelumnya di samping peningkatan mendadak jumlah calon yang memperoleh kesemua A (kombinasi A dan A-) iaitu melonjak daripada 77 calon kepada 118 calon bagi 2018.

"Turut membanggakan apabila PNGK calon luar bandar meningkat kepada 3.01 berbanding tahun sebelumnya 2.92, manakala calon bandar pula 2.97 berbanding 2.89 (2017).


"Seramai dua pelajar di negeri ini mencatatkan keputusan cemerlang dengan memperolehi 5A iaitu Mohamad Aizudin Mah Hassan dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Besut dan Nur Syahidah Hassan dari Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin (SMAASZA)," katanya ketika pengumuman keputusan STPM 2018 peringkat negeri di sini hari ini.

Menurut Shafruddin, seorang calon berkeperluan khas (CBK) pendengaran, Nor Hazwani Hussain dari SMK Nasiruddin Shah, Besut pula terpilih sebagai Pelajar Terbaik STPM Peringkat Kebangsaan apabila memperoleh PNGK 3.59.

Beliau memberitahu, daripada keseluruhan 2,327 pelajar yang  menduduki STPM, seramai 1,268 calon iaitu 54.50 peratus memperoleh PNGK 3.0 ke atas berbanding 1,153 orang atau 47.92 peratus pada tahun sebelumnya.

Katanya, 41 daripada 45 sekolah di negeri ini memperoleh keputusan 100 peratus lulus penuh termasuk 39 daripadanya mengatasi purata PNGK Kebangsaan.

Shafruddin berkata, SMA Maarif di Besut mencatatkan pencapaian terbaik bagi keputusan STPM negeri ini dengan PNGK 3.38 diikuti SMAASZA (3.33), SMK Chalok (3.24), SMK Badrul Alam. Shah (3.24),  SMK Tun Telanai (3.23), SMK Renek (3.16) dan SMK Nasiruddin Shah (3.15).
Turut berada dalam senarai itu termasuklah SMK Kuala Telemong (3.15), SMK Manir (3.12) dan SMK Bukit Sawa (3.11).


Tag: