• 08 Sept 2024 | 4 Rabiul Awal 1446

SUK Terengganu Proaktif Pastikan KPI HRMIS Capai Sasaran

KUALA TERENGGANU, 25 Jun- Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu mengambil langkah proaktif dalam memastikan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Sistem Maklumat Pengurusan Sumber Manusia (HRMIS) mencapai tahap 100 peratus sebagaimana sasaran ditetapkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja berkata, antara usaha yang dilakukan termasuk meneliti modul-modul yang terdapat dalam kamus KPI HRMIS ditetapkan kepada pentadbiran negeri sebelum dipanjangkan kepada seluruh anggota perkhidmatan awam.

“Pentadbiran ini sentiasa memantau pencapaian KPI HRMIS secara berkala kepada jabatan/agensi di bawah seliaan Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Terengganu melalui Sistem Analitik Sumber Manusia Sektor Awam (ASSIST) dan naziran kepada jabatan serta mengeluarkan laporan kepada semua agensi.

“Selain itu, Pentadbiran Negeri turut mengeluarkan surat pemakluman berhubung tarikh penting KPI HRMIS dan sekiranya jabatan/agensi gagal mematuhi KPI HRMIS yang ditetapkan, jabatan/agensi perlu mengemukakan surat penjelasan kepada Pentadbiran Negeri agar sebarang permasalahan dapat dibantu dan diselesaikan

“Kita juga sentiasa menjalinkan hubungan baik sesama agensi dan mengadakan program bersama agensi di bawah seliaan seperti mengadakan Klinik HRMIS, Bengkel Pendedahan Kepada Kakitangan Baharu dan juga Program Naziran di jabatan/agensi,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Turun Padang HRMIS Care Zone Timur 2024 di Wisma Darul Iman, hari ini.

Seramai 312 peserta daripada 156 agensi di bawah perkhidmatan awam negeri bagi Zon Timur iaitu Terengganu, Pahang dan Kelantan menyertai program turun padang yang dianjurkan oleh pihak JPA itu.

Mengulas lanjut katanya, pengenalan modul-modul baharu dan peningkatan KPI HRMIS bukanlah sesuatu yang mudah untuk dicapai. 

“Justeru, Pentadbiran Negeri berharap pihak Bahagian Digital dan Teknologi Maklumat (BDTM), JPA akan sentiasa membantu dan memberi kerjasama yang teguh kepada negeri dalam usaha memastikan KPI HRMIS dapat dicapai.

“Sentiasa memberi informasi terkini kepada Negeri Terengganu supaya tidak ketinggalan dalam menjayakan program yang dirancang diperingkat Persekutuan.

“Di samping memberikan latihan secara berterusan mengenai penggunaan pelbagai modul dan submodul HRMIS kepada Pentadbir-Pentadbir HRMIS dan Pengurus Sumber Manusia melalui Program Latihan (Training on HRMIS for user),” ujarnya.

Katanya, latihan sebegini akan membantu meningkatkan pemahaman Pentadbir-Pentadbir HRMIS dan Pengurus Sumber Manusia secara ‘hands-on’ dalam mengoptimumkan penggunaan HRMIS.