KUALA TERENGGANU, 14 Januari - Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim menasihati penggemar dan pengamal sukan di negeri itu memperkasakan disiplin serta ketahanan mental bagi mewujudkan suasana harmoni dalam penganjuran kejohanan dan program sukan,
"Bersukan bukan untuk saingan pergaduhan. Ia bermatlamat untuk mengukuhkan persaudaraan dan menjalin hubungan yang lebih erat walaupun dengan pasukan lawan.
"Sekalipun sukan yang melibatkan perlawanan tempur, seperti Muaythai, silat, taekwando dan seumpamanya, ia tetap ada disiplin dan peraturannya sendiri. Tamatnya perlawanan, yang menang atau kalah tetap menjalin hubungan persaudaraan bukannya menyambung pergaduhan.
"Sukan menuntut setiap yang terlibat menajamkan fokus, ketahanan mental, kelasakan fizikal, pecutan kelajuan, kemahiran (skills) dan pelbagai lagi yang perlu diperkasakan. Penguasaan emosi paling utama," jelasnya melalui kenyataan dikeluarkan di laman Facebooknya, semalam.
Menurut Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) itu, insiden pergaduhan yang berlaku dalam saingan Terengganu Football League (TFL) antara pasukan NAG FC dan KESA FC di Padang Sintetik, Kompleks Sukan Gong Badak, pada Jumaat lalu amat mendukacitakan.
"Ia sewajarnya dielakkan oleh semua pihak yang terlibat.
"PBSNT akan memperhalusi insiden ini dengan menyerahkan mandat siasatan kepada Jawatankuasa Tatatertib TFL untuk meneliti semua laporan sebelum ia diputuskan secara muktamad di bawah PBSNT.
"Anasir tidak sihat ini amat mendukacitakan kami dan berharap ia tidak berulang. Kami anggap ia sebagai kes serius dan akan berusaha menanggani dengan cermat dan tidak berkompromi," katanya.
Dalam pada itu, pihak TFL menjanjikan tindakan tegas terhadap pelaku terlibat dalam aksi 'gusti' sehingga mengakibatkan tiga anggota Pasukan NAG FC iaitu Muhammad Alauddin Roslan (pemain), Muhammad Zarif Adib Chek Azman (Ahli Fisio) dan Ronny Irwan Husni@ Abdul Rahman (Pegawai Admin) cedera.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam, TFL memaklumkan bahawa siasatan menyeluruh sedang dilakukan melalui laporan pegawai perlawanan dan pihak keselamatan.
Penganjur liga itu turut komited meningkatkan protokol keselamatan bagi mengelakkan insiden itu berulang pada acara dianjurkan di masa akan datang.