SUKMA 2022: Nurul Afiqah 'Rampas' Semula Emas Angkat Berat

PUTRAJAYA, 20 September -Atlet angkat berat berbakat Terengganu, Nurul Afiqah Muhammad Zamzuri menebus kekecewaan lalu dengan memenangi pingat emas dalam acara 45kg wanita pada Sukan Malaysia SUKMA XX MSN, hari ini.

Kemenangan di Dewan Kompleks Kejiranan Presint 11 itu, menyaksikan atlet kebangsaan itu 'merampas' kembali emas yang ditarik daripadanya pada SUKMA Perak 2018 kerana isu doping.

"Saya gembira kerana dapat ambil balik pingat ini menggantikan apa yang hilang dulu.

"Ia sangat bermakna sebab ini juga merupakan penampilan terakhir saya di SUKMA," katanya.

Dalam pada itu, beliau berharap agar rekod yang dicatatnya dapat diiktiraf secara rasmi.

"Tetapi apa pun, saya telah buktikan saya mampu mencipta rekod baru dan saya akan cuba buat terbaik dalam pertandingan yang akan datang," katanya.

Anak kelahiran Seberang Takir itu pernah meraih pingat perak dalam penampilan pertamanya di SUKMA Sarawak 2016.

Beliau mendedikasi satu-satunya pingat emas miliknya kali ini kepada semua pihak yang banyak menyokong dan melatihnya selama ini.


Tag: