Oleh : Nurul Natasha Surin
KUALA TERENGGANU, 16 Februari – Kerajaan Negeri menegaskan komitmen penuh dalam memperkemas persiapan kontinjen negeri menjelang Sukan Malaysia (SUKMA) edisi ke-22, sekali gus memperkukuh hubungan persaudaraan antara negeri yang bertanding.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, sukan bukan sekadar medan persaingan, sebaliknya menjadi platform strategik menyatukan negeri-negeri dalam semangat ukhuwah dan profesionalisme.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam satu Majlis Kunjungan Hormat delegasi Kerajaan Negeri Selangor yang diketuai Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Negeri Selangor, Mohd Najwan Halimi, semalam.
Menurutnya, walaupun bakal bersaing di gelanggang temasya SUKMA akan datang, hubungan antara Terengganu dan negeri-negeri lain kekal utuh demi memastikan pembangunan sukan dan belia terus diperkasa secara bersama.
“Kontinjen Terengganu dijangka menyertai 35 daripada 37 acara yang dipertandingkan, dengan persiapan telah digerakkan lebih awal melalui perancangan strategik serta pembangunan atlet secara berterusan selepas tamat temasya sebelum ini.
“Insya-Allah, kita akan berjuang dengan penuh semangat kesukanan, bukan sahaja untuk mengharumkan nama negeri, malah melahirkan bakat yang mampu menyumbang kepada negara di pentas lebih tinggi,” ujarnya.
Beliau turut memaklumkan kontinjen Terengganu akan diketuai Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu (Pembangunan), Dato’ Rosli Latif selaku Ketua Kontinjen dan akan dibantu oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu (Pengurusan) Dato’ Jusman Ibrahim sebagai Timbalan Ketua Kontinjen.
Hishamuddin berharap kunjungan tersebut menjadi pemangkin kerjasama lebih erat antara kedua-dua negeri, sekali gus memastikan SUKMA kali ini berlangsung dalam suasana harmoni, kompetitif dan penuh semangat kesukanan.