SETIU, 29 Oktober - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menyampaikan hadiah Pertandingan Kuda Lasak Piala Sultan Mizan 2023 bagi Acara 120 kilometer (km) Individu dan berkumpulan di Terengganu International Endurance Park (TIEP) Lembah Bidong di sini hari ini.
Keberangkatan Baginda turut diiringi Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah.
Ketibaan Baginda berdua disambut oleh Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan isteri To' Puan Seri Tuan Faizah Tuan Abdul Rahman, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim, Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja dan Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Nara Setia.
Penunggang Mohd Faris Haikal Mohd Hassan Sa'ari dari State of Terengganu Endurance Team (STET) menjadi Johan Acara 120 km individu dan membawa pulang wang tunai RM18,480 beserta piala, medal dan barangan elektrik.
Naib Johan acara tersebut, Mohamad Adhwa Embong juga dari STET, yang menunggang kuda bernama Cha Magic membawa pulang RM14,840, sebuah piala, medal dan barangan elektrik.
Sementara tempat ketiga dimenangi oleh Lans Kopral Muhammad Aminuddin Ali dari Royal Kelantan Endurance memakai vest bernombor 14 dengan menunggang kuda bernama Wattle Tree Echo membawa pulang RM10,080, sebuah piala , medal dan barangan elektrik.
Bagi acara 120km berkumpulan pula Kumpulan STET terdiri dari penunggang Mohd Faris Haikal Mohd Hassan Sa'ari, Mohamad Adhwa Embong, Muhammad Nurhan Fawwaz Mohd Nuhairi dan Mohammad Fuad Hashim mendapat johan dengan mencatat masa 22 jam 18 minit 56 saat membawa hadiah RM20,000, sebuah piala dan medal.
Manakala kumpulan Royal Terengganu Endurance Stable (RTES) terdiri dari Sultan Mizan Zainal Abidin, Mohd Yunus Abdullah dan Osman Mohd Jaafar membawa pulang hadiah RM10,000, sebuah piala dan medal.
Kuda terbaik Kejohanan kali ini ialah Cha Magic ditunggangi oleh Mohamad Adhwa Embong dari STET memakai vest bernombor 16 dengan membawa pulang hadiah bernilai RM25,000.
Setiap peserta bagi kategori 120km mendapat hadiah RM4,000.