Sultan Terengganu Berkenan Lihat Gelagat Pelajar di Pertandingan Akhir Piala YDSM

KUALA NERUS, 29 Julai – Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli menyaksikan pertandingan akhir Piala Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM) yang berlangsung di Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Dato’ Razali Ismail hari ini.

Keberangkatan tiba Baginda diiringi Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah, serta Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin, bersama anakanda-anakanda Baginda yang lain.

Pertandingan akhir Piala YDSM menyaksikan penyertaan lapan sekolah, masing-masing mewakili satu daerah di Terengganu yang bersaing untuk merebut gelaran juara.

Sultan Mizan turut berkenan meninjau semua pertandingan yang berlangsung hari ini, termasuk Pertandingan Chorasikal Sketch, Pertandingan Chain Story Telling dan Pertandingan Public Talk, My Terengganu Proposal Quest, serta Smart English.

Kesemua pertandingan tersebut masing-masing bertempat di Dewan Besar Al-Farabi, Dewan Besar Ungku Omar, dan beberapa bilik di Institut Pendidikan Guru Kampus Dato’ Razali Ismail.

Keberangkatan Baginda ke acara tersebut mencerminkan komitmen dan sokongan terhadap usaha memupuk bakat dan kreativiti dalam kalangan pelajar.

Para pelajar, guru serta ibu bapa yang hadir menunjukkan perasaan teruja dengan kehadiran baginda ke acara tersebut.

Sultan Mizan, Sultanah dan anakanda-anakanda Baginda berkenan meluangkan masa untuk bersalaman dengan hadirin serta pelajar yang mengambil bahagian dan memberi sokongan dalam acara berkenaan.

 

 

 

 

 

 


Tag: