KUALA NERUS, 19 Julai- Ismail Akinade muncul wira pasukan Terengganu FC apabila menjaringkan gol kemenangan ke atas Selangor FC pada aksi separuh akhir pertama Piala FA.
Jaringan gol pemain kelahiran Nigeria itu membolehkan Terengganu FC membawa bekalan satu jaringan ke gelanggang lawan setelah tuan rumah menang tipis 3-2 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, malam ini.
Pasukan pelawat kendalian Nidzam Jamil tampak garang di awal perlawanan dengan Allan Fernandez melakukan percubaan seawal minit ke-8.
Pelawat kemudian nyaris mengejutkan tuan rumah apabila lorongan Allan disudahkan pemain kelahiran Belanda, Alvin Fortes yang melambungkan bola melepasi penjaga gol, Syed Nasrulhaq, mujur Alif Zakaria sempat mengeluarkan bola di hadapan gawang pada minit ke -12.
Alvin sekali lagi hampir merobek gawang Terengganu FC pada minit ke-27, tetapi tendangannya melambung tinggi.
Pada minit ke-30, Safawi Rasid meletakkan Sang Penyu selesa di depan menerusi sepakan percuma untuk gol pertama perlawanan.
Memiliki kelebihan jaringan, tuan rumah terus meningkatkan penguasaan bola di kawasan kubu lawan.
Lima minit berselang, Nurillo Tuskhtasinov sekali lagi menggamatkan stadium dengan rembatan deras dari luar kotak penalti yang menewaskan Sam Somerville untuk gol kedua Terengganu FC.
Gergasi Merah yang tersentak dengan gol tersebut kembali mengatur serangan.
Selangor FC kembali merapatkan kedudukan sebelum tamat separuh masa melalui pelamin kelahiran Belanda, Alvin Fortes yang menyudahkan hantaran lintang Mukhairi Ajmal pada minit ke-38.
Bersambung babak kedua, Gergasi Merah hanya memerlukan dua minit untuk mengikat kedudukan apabila kesilapan Alif membolehkan Alvin melorongkan bola kepada Mahmoud Al-Rawabdeh untuk gol penyamaan Selangor FC.
Empat minit kemudian, Rawabdeh hampir mengejutkan tuan rumah, namun rembatannya tersasar.
Pada minit ke-69, Nurillo melakukan lambungan ke arah kotak penalti sebelum disambut dengan tandukan Ismail Akinade yang melemaskan Sam Somerville untuk tuan rumah kembali di depan dengan jaringan 3-2.
Keputusan tersebut kekal sehingga tamat perlawanan.
Dengan bekalan tipis, tentunya Terengganu FC mengharapkan sokongan padu peminat ketika berkunjung ke Petaling Jaya untuk perlawanan separuh akhir kedua pada 3 Ogos nanti.