Hakisan Pantai : Fokus Penyelesaian, Jangan Main Politik - Dr Sam
Tangki Air SMK Seri Paka Pecah Akan Dibaiki Segera
DUNGUN, 16 Oktober- Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka, Satiful Bahri Mamat memberi jaminan, tangki air Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Paka yang pecah semalam akan dibaiki segera.
Katanya, perkara tersebut telah dimaklumkan kepada pihak berkaitan.
"Pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu telah mengambil tindakan sewajarnya untuk menyelesaikan masalah ini," ujarnya kepada pemberita.
Satiful berkata, kejadian tangki pecah itu tidak melibatkan bahaya kepada pelajar dan guru.
"Alhamdulillah tiada kemalangan jiwa dan kerosakan fasiliti lain dilaporkan.
"Bagi sementara waktu, tangki air itu akan diganti dengan 'bypass' dahulu untuk kegunaan sementara," katanya.
Menurut Satiful, beberapa tahun sebelum ini, tangki air SMK Paka dan Sekolah Menengah Sains Dungun juga pecah setelah lebih 10 tahun penggunaannya.
"Mungkin tangki ini juga telah mencapai usia tamat tempohnya dan sebab itu ia pecah,"ujarnya.