Task Force Selesaikan Ancaman Ulat Bungkus - Dr Azman

Dr Azman melakukan gimik perasmian bulan penanaman tumbuhan berfaedah.
KEMAMAN, 22 Januari - Kerajaan Negeri Terengganu sentiasa komited untuk bekerjasama dengan mana-mana agensi yang terlibat dalam komuniti sawit bagi membantu menyelesaikan masalah peladang.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, satu mesyuarat penyelarasan yang diadakan baru-baru ini telah bersetuju untuk menubuhkan pasukan petugas khas (task force) untuk menyelesaikan ancaman Ulat Bungkus.

Jelasnya lagi, pasukan itu akan memberi tumpuan kepada kawalan secara ‘chemical’ dan biologi bagi menyelesaikan masalah Ulat Bungkus yang juga dikenali sebagai Ulat Pemakan Daun (UPD).

"Satu mesyuarat penyelarasan telah diadakan dan keputusannya kita menubuhkan satu 'task force' untuk mengambil satu langkah dan tindakan berkesan dalam rangka kita untuk menghadapi ancaman Ulat Bungkus.

"Kawalan kita ini tertumpu kepada kawalan secara ‘chemical’ dan juga kawalan secara biologi, kawalan chemical melalui suntikan batang dan semburan daun, dan kawalan secara biologi dengan tanaman bermanfaat", katanya.
Dr Azman ketika menyampaikan taklimat ancaman ulat pemakan daun kepada 100 peladang.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas merasmikan Bulan Penanaman Tumbuhan Berfaedah untuk mengawal serangan UPD di Felda Kerteh 5 bersama komuniti Felda hari ini.

Turut hadir pada majlis itu adalah Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Hilmi Harun, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir Saiful Azmi serta Pegawai Penyelidik (Tanah Persekutuan) Pejabat Menteri Besar Terengganu, Naraza Muda.

Pasukan petugas khas itu dianggotai oleh FELDA, FELCRA, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Ladang Rakyat, TDM Berhad (TDM) serta peneroka dan pekebun kecil.

Pasukan tersebut akan turun ke setiap kawasan bagi memberikan taklimat dan kempen berkenaan ancaman dan cara menghadapi UPD.
Demontrasi oleh Dr Azman tentang kawalan secara 'Chemical' iaitu suntikan batang.
Untuk rekod, UPD mula menyerang tanaman peladang dan pekebun kecil pada 2017 hingga menyebabkan kerugian yang besar dialami oleh peladang-peladang yang bergantung hidup pada industri sawit .

Serangan UPD ini menyebabkan kerugian hasil dialami oleh peladang-peladang di antara 33 hingga 47 peratus sebulan.

Tag: