Ustaz Mohd Nor (kiri) menyampaikan hadiah kepada pemenang boling. |
KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri bercadang melaksanakan tazkirah bulanan di setiap jabatan kerajaan di Terengganu dalam usaha mendalami ilmu agama dan al-Quran di kalangan penjawat awam.
Program yang berkemungkinan diadakan pada Khamis pertama pada setiap bulan itu akan diselitkan dengan pengisian ceramah agama, hafal al-Quran dan terjemahan hadis agar jiwa kita dekat dengan al-Quran .
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Ustaz Mohd Nor Hamzah, berkata apa yang dicadangkan itu seperti mana polisi memakai baju batik pada setiap Khamis, hari tanpa tali leher pada hari isnin dan polisi seterusnya menganjurkan tazkirah Jumaat pada setiap bulan.
Katanya, mana-mana jabatan yang tidak arif atau mempunyai kepakaran berkaitan program itu, pihak Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) sedia membantu menjayakannya.
“Apa yang penting tujuan dan matlamat tercapai, termasuk melahirkan insan bertaqwa, cintai agama Islam, taat pada perintah Allah.
“Perkara ini masih di peringkat awal dan saya akan mengadakan perbincangan dengan pihak berkaitan sebelum menetapkan program itu sebagai polisi kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Retreat I-MiTS di Hotel Regency, Kuala Ibai hari ini.
Kira-kira 70 kakitangan i-MiTS hadir menjayakan program yang akan diadakan secara berperingkat-peringkat.
Mohd Nor turut memberitahu, kakitangan i-MiTS perlu menjalin hubungan erat dengan agensi kerajaan, kerana ia akan memberi banyak manfaat kepada agensi itu.
“Dengan terjalinnya hubungan erat pelbagai program dapat dilakukan bersama seperti bergotong-royong dan pelbagai aktiviti di peringkat kampung dapat dijayakan,” katanya.