KUALA TERENGGANU, 26 September- TDM Berhad (TDM atau Kumpulan) menyantuni lebih 130 asnaf Ajil melalui program TDM Bersama Masyarakat dengan kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Ajil.
Pengarah Eksekutif TDM,
Najman Kamaruddin, berkata, jumlah sumbangan diperuntukan sebanyak RM20,000 di mana setiap penerima akan menerima bantuan berupa wang tunai dan barangan keperluan harian.
Menurutnya, program itu adalah adalah sebahagian daripada komitmen berterusan syarikat terhadap tanggungjawab sosial korporat (CSR) selaras dengan objektif program untuk mendekati masyarakat dan membantu mereka yang memerlukan,
'Ini adalah salah satu cara kami berkongsi rezeki dan memberi kembali kepada masyarakat.
"Komitmen kami ini sebagai bukti syarikat yang bukan sahaja berfungsi sebagai entiti perniagaan, tetapi juga memainkan peranan aktif dalam pembangunan komuniti, khususnya di negeri Terengganu," ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Majlis perasmian tersebut disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Maliaman Kassim di Dewan Sivik Ajil, Hulu Terengganu semalam.
Turut hadir, pegawai Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) Zon Tengah, Fakhrul Islam Yaacob dan Pegawai Daerah Hulu Terengganu, Lizan Che Mat.
Tambah Nazman, sumbangan tersebut mampu meringankan beban penerima serta memperkukuhkan hubungan antara TDM dan komuniti setempat.
Jelas beliau, sebagai syarikat yang beroperasi di negeri Terengganu, TDM sentiasa komited untuk memastikan kesejahteraan masyarakat di sekitar kawasan operasi mereka sentiasa diutamakan.
"Keprihatinan terhadap kebajikan penduduk setempat bukan sahaja dilihat sebagai tanggungjawab sosial, tetapi juga sebagai usaha kami untuk menyokong aspirasi kerajaan negeri Terengganu dalam membangunkan masyarakat yang inklusif dan sejahtera.
"Di masa hadapan, TDM akan terus mempergiatkan usaha dalam membantu komuniti setempat melalui program-program CSR yang mampan," ujarnya.