Dr Alias menziarahi pesakit warga emas di Pulau Duyong. |
KUALA NERUS, 15 Julai - Pimpinan masyarakat di setiap peringkat khususnya Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) wajar menjadikan kisah Khalifah Umar dengan fakir miskin sebagai inspirasi dalam mendepani rakyat yang diuji dengan kemiskinan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan,Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, peranan MPKK begitu besar sebagai jentera kerajaan di peringkat akar umbi.
“Mana mungkin setiap orang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mampu untuk menjejaki setiap rumah dalam DUN masing-masing tanpa penglibatan MPKK sebagai penyalur maklumat tentang segala permasalahan rakyat,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Jamuan Rakyat Komuniti Kampung Pengkalan Arang di sebuah balairaya, di sini semalam.
Hadir sama, Setiausaha Akhbar Pejabat Menteri Besar, Mohd Adram Musa dan Pengerusi Persatuan Sayangi Negeri Terengganu (PESAYANG), Asyraf Fathi Md Soh.
Tambah Dr Alias, antara kisah masyhur yang boleh diambil pengajaran bersama adalah bagaimana seorang khalifah tidak tenteram hatinya memikirkan nasib rakyatnya yang hidup dalam serba kedhaifan.
Diringkaskan cerita, pada suatu malam, Umar R.A. dan pembantunya Aslam telah keluar menyamar dan membuat rondaan ke suatu tempat bernama Harrah.
Tujuan Saidina Umar berbuat demikian adalah untuk mengetahui keadaan sebenar rakyat jelata di bawah pimpinannya dan memastikan tiada seorang pun yang tercicir.
Tiba di suatu tempat, Saidina Umar berjumpa dengan seorang ibu yang sedang memasak batu demi mendiamkan anak-anaknya yang kelaparan.
Setelah terlalu lama menunggu, anak-anak mereka tertidur kerana terlalu letih dan kelaparan.
Sejurus mendengar luahan ibu tersebut, Khalifah Umar tidak dapat menahan air matanya dan terus bergegas ke Baitul Mal untuk mengambil keperluan makanan.
“Pengajaran di sebalik kisah ini dapatlah disimpulkan bahawa setiap pemimpin mempunyai amanah berat yang sedang dipikul sama ada ganjaran pahala menanti ataupun azab yang pedih jika mengkhianati amanah tersebut,” jelasnya lagi.