Tembak Mati Kera, Babi Hutan Langkah Akhir Perhilitan Tangani Ancaman
KUALA TERENGGANU, 19 November – Menembak mati terhadap kera dan babi hutan merupakan langkah terakhir yang terpaksa diambil oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), dalam menangani konflik gangguan hidupan liar yang dikesan mengganggu penduduk di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata tindakan penakaian (tembak mati) akan dilaksanakan ke atas spesies haiwan itu kerana populasi yang amat tinggi dan kebolehan membiak yang pantas.
“Kerajaan negeri melalui Perhilitan setelah mengambil kira pelbagai aspek termasuk aspek keselamatan dan ancaman nyawa turut mengambil tindakan bersesuaian terhadap spesies hidupan liar lain seperti gajah dan harimau.
“Bagi setiap aduan yang diterima, Perhilitan akan mengambil tindakan dengan melaksanakan siasatan, pemantauan dan tindakan tembak halau, pemasangan perangkap atau operasi tangkap pindah sekiranya hidupan liar tersebut gagal untuk kembali ke habitat asal mereka,”ujarnya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Kijal berkata demikian ketika menjawab soalan lisan ADUN Telemong , Zawawi Ismail dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN), Kelima Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.
Sementara itu, bagi menangani serangan daripada spesies Gajah, pembinaan system pagar elektrik gajah (SPEG) telah dilaksanakan di tiga buah lokasi iaitu di Kg. Lawit ke Belukar Bukit, Hulu Terengganu (29.5KM), Kg. Pelong. Setiu (35KM) dan Kg. Payung ke Chalok Barat, Setiu (25KM).
“Pembinaan SPEG ini telah dibangunkan melalui RMK-10 dengan kos sebanyak lebih kurang RM 3.5 juta.
“Kerajaan juga telah memperuntukkan lebih kurang RM 500,000 setiap tahun bagi kerja-kerja kontrak pembersihan dan penyelenggaraan SPEG agar ianya berfungsi dengan baik dan dapat membantu mengurangkan serangan gajah,” katanya lagi.
Razali juga berkata pasukan keselamatan atau renjer komuniti juga ditubuhkan antaranya di Kampung Basong, Hulu Terengganu dikenali sebagai Basong Rangers.
“Basong Rangers telah ditubuhkan sebagai ‘pilot project’ melibatkan kerjasama antara komuniti dengan Pejabat Daerah Hulu Terengganu, Jabatan PERHILITAN, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan lain-lain bagi mengurangkan risiko berlakunya serangan gajah liar di kawasan tersebut,” ujarnya lagi.
Selain itu katanya, bagi membantu petani, pentemak yang terkesan akibat daripada serangan hidupan liar, kerajaan negeri turut menyediakan saguhati di bawah Tabung Bencana Pertanian.
Jelas beliau, kadar bantuan ditetapkan RM1,000 bagi setiap hektar dan had maksimum ialah dua hektar dimana pada 2023 sebanyak RM14, 760 diperuntukkan kepada 17 penerima dan sebanyak RM25,450 diperuntukkan kepada 20 penerima pada tahun sebelumnya iaitu pada 2022," ujarnya