Dr Azman (duduk kanan). |
Oleh : Hidayah Azlin
SETIU, 15 April – Terengganu menjadi antara negeri pengeluar utama Tembikai di Malaysia apabila memiliki kebun dan ladang penanaman seluas 1,000 hektar dan penghasilan buah sekitar 750,000 metrik tan setahun.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, tanaman sepanjang tahun itu dilaksanakan secara berperingkat serta berjadual bagi memastikan bekalan berterusan dan berupaya mengelakkan berlaku lambakan hasil.
"Dengan 1,000 hektar kawasan yang ditanam tembikai di seluruh negeri ini, boleh saya nyatakan bahawa Terengganu adalah salah satu negeri pengeluar utama tembikai di Malaysia.
"Ia melibatkan seramai 3,000 petani yang menanam bukan secara serentak dan berjadual yang disusun oleh Jabatan Pertanian Negeri," katanya ketika ditemui media selepas Program Pemantauan Belian Tembikai Kelompok, Tanaman Tembikai FAMA di Kampung Alor Tok Kabar, semalam.
Mengulas lanjut beliau berkata, hasil daripada itu, kerajaan berjaya memastikan rakyat Terengganu memiliki bekalan makanan yang mencukupi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Dr Azman berkata, usaha FAMA dan TADC menyelesaikan masalah pemasaran tembikai sangat dihargai. |
Dalam pada itu, seramai 25 peserta yang terlibat dalam kelompok tanaman tembikai di Kampung Alor Tok Kabar, Kampung Nyatoh di sini menarik nafas lega apabila Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) membantu memasarkan hasil tananam mereka ke semenanjung Malaysia.
"Dengan keluasan 14.5 hektar itu, mereka berjaya menghasilkan kira-kira 436 matrik tan yang bernilai dalam lingkungan RM343,000," jelasnya.
Sementara itu, Terengganu Agrotech Development Corporation (TADC) turut memainkan peranan penting dalam memasarkan hasil pertanian dalam tempoh PKP ini.
"Dalam fasa pertama dan kedua PKP, TADC berjaya memasarkan kira-kira 1,000 tan metrik.
"Untuk fasa ketiga kita menjangkakan dalam 1,000 tan metrik lagi tembikai akan dipasarkan. Jadi dalam dalam tempoh sebelum dan semasa PKP ini boleh disimpulkan sebanyak 3,000 tan metrik telah dikeluarkan," jelasnya.
Dr Azman turut berharap agar petani terus menjalankan aktiviti pertanian dan kerajaan akan membantu sedaya mungkin. |
"Namun dari segi harga apabila di atas daripada RM0.50 satu kilogram, petani tidak akan rugi. Petani akan rugi sekiranya harga tembikai RM0.40 ke bawah sahaja," tambah beliau.