Terengganu Bakal Wujudkan Industri Penternakan Ayam Penelur

KUALA TERENGGANU, 12 Januari- Kerajaan negeri berhasrat mewujudkan industri penternakan ayam penelur di negeri ini bagi mengatasi masalah kekurangan telur selain mengelak kebergantungan kepada sumber luar untuk tempoh jangka panjang. 

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, bagi merealisasikan hasrat itu, pihaknya telah mengenal pasti tanah seluas 120 hektar di daerah Setiu untuk dimajukan sebagai hab penternakan ayam telur.

Menurut beliau, setakat ini pihaknya sudah mengadakan perbincangan dengan beberapa pihak dan ada yang menunjukkan minat untuk membuka ladang ternakan ayam telur di kawasan berkenaan.

"Kebetulan sebenarnya sebuah syarikat yang mengusahakan ladang ayam penelur di Melaka turut mempunyai ladang ayam pedaging di Negeri Terengganu.

"Jadi kita akan berbincang supaya mereka kembangkan lagi daripada sektor penternakan ayam pedaging sahaja kepada sektor penternakan ayam penelur sekali," ujarnya selepas melakukan tinjauan agihan telur di Pusat Operasi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di Chendering, hari ini.

Katanya, projek ternakan ayam penelur itu dijangka dimulakan pertengahan tahun ini dengan menggunakan model sama seperti projek pertanian lain di negeri ini.

Tambah beliau, kerajaan negeri bersedia untuk bekerjasama sebaiknya dengan para pelabur yang berminat mengusahakan projek ternakan ayam penelur ini termasuk menyediakan infrastruktur, tapak dan sebagainya. 

"Dalam pelan strategik pertanian Negeri Terengganu ke arah 'food security', kita sebenarnya tidak mahu bergantung kepada bekalan daripada luar tetapi hendak jadi pengeluar yang menghasilkan makanan untuk negeri dan kalau ada berlebihan boleh dikongsi dengan negeri lain, " ujarnya.

Dr Azman berkata, kerajaan negeri juga tidak berhasrat untuk mengimport telur dari negara lain termasuk Thailand bagi memenuhi permintaan pasaran, kerana harganya lebih mahal dan kurang berkualiti

"Setakat ini, kita masih boleh bergantung kepada sumber tempatan disamping harganya yang lebih murah, kita yakin telur tempatan ini lebih berkualiti sebab kalau telur import dari luar negara mungkin memakan masa berminggu-minggu untuk sampai ke outlet-outlet jualan. 

"Dalam masa yang sama kita sedia maklum, Kadar Sara Diri (SSR) pengeluaran telur dalam Malaysia mencatat 120 peratus, sudah melebihi daripada keperluan tetapi yang menjadi isu dan persoalannya telur ini dieksport ke luar negara yang menyebabkan bekalan dalam negara kita mengalami ketidakcukupan.

"Saya melihat ini adalah isu utama yang perlu diselesaikan di peringkat kementerian khususnya perbincangan dengan pengusaha dan pengeksport supaya ada satu jalan tengah yang boleh diambil, " jelasnya.