KUALA TERENGGANU, 9 Jun- Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli menyaksikan Pasukan Polo Terengganu bangkit dari ketinggalan 0-2 untuk menewaskan Pasukan Polo Kelantan 5-4 pada Kejohanan Polo Jemputan sempena Sambutan Ulang Tahun ke-62 Hari Keputeraan DYMM Sultan Terengganu, semalam.
Dalam aksi kejohanan polo yang julung kali diadakan itu, pasukan Kelantan mendahului dengan dua gol pada 'chukka' (segmen) pertama, sebelum Terengganu kembali bangkit menjaringkan empat gol pada 'chukka' kedua untuk selesa pada kedudukan 4-2.
Pada 'chukka' terakhir, Kelantan merapatkan kedudukan kepada 4-3, namun Terengganu berjaya melenyapkan kebangkitan itu dengan dengan gol kelima.
Bagaimanapun, Kelantan yang mendapat penalti merapat jurang pada minit-minit terakhir untuk keputusan penuh 5-4 di akhir permainan.
Terdahulu, Sultan Mizan berangkat tiba ke Terengganu Equestrian Resort (TER) diiringi Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah dan disambut Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pada jam 3.00 petang.
Turut hadir, menyambut keberangkatan tiba Baginda ialah Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Dato' Mohd Nor Hamzah dan Setiausaha Kerajaan Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja.
Sebelum perlawanan polo dimulakan, pertandingan 'show jumping' dan acara memanah sambil menunggang kuda dipersembahkan.
Sultan Mizan turut berkenan mencemar duli menyampaikan hadiah kepada pemenang sebelum keberangkatan pulang Baginda pada sekitar jam 5.00 petang.