Terengganu Berjaya Lunas 64 Peratus Hutang Kerajaan

KUALA TERENGGANU, 25 Julai - Terengganu berjaya melunaskan 64 peratus atau sejumlah RM472.78 juta hutang dengan kerajaan Persekutuan dalam tempoh tiga tahun pemerintahan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, bayaran balik hutang itu dibuat secara berperingkat bermula Januari 2019 hingga Disember 2021.

“Pada tahun 2019, jumlah hutang yang ditanggung kerajaan negeri adalah sebanyak RM733.13 juta. Setelah melalui beberapa siri pembayaran, jumlah keseluruhan yang tinggal pada tahun 2022 berjumlah RM267.09 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir, Hilmi Harun pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14, di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Menurut Ahmad Samsuri, pada 2019 bayaran balik dilaksanakan melalui pemotongan 25 peratus bayaran tunai petroleum iaitu dengan jumlah RM425.706 juta.

"Pada 2020 pula, sejumlah RM309.97 juta hutang direkodkan dan bayaran balik sebanyak RM31.86 juta dilakukan melalui melalui pemotongan lima peratus bayaran tunai petroleum.

"Manakala bagi tahun 2021, jumlah hutang adalah sebanyak RM279.97 juta dan bayaran balik sebanyak RM15.21 juta dibuat secara tunai," ujarnya.

Mengulas lanjut beliau berkata, hutang kerajaan negeri itu turut melibatkan projek berstatus 'scheduled payment' dan 'deferred payment' yang dibuat kerajaan terdahulu.

“Peratusan jumlah hutang, 'scheduled payment' dan 'deferred payment' berbanding anggaran hasil adalah sekitar 29 peratus bagi 2019, 19 peratus (2020) dan 36 peratus (2021).

“Manakala jumlah 'scheduled payment' dan 'deferred payment' yang perlu dijelaskan tahun ini mencecah 54 peratus daripada anggaran hasil,” ujarnya.

Katanya, mengambil kira komitmen kewangan dan perbelanjaan mengurus, kerajaan negeri berdepan kedudukan fiskal yang mencabar untuk berbelanja terutama bagi membangunkan projek-projek baharu.

"Bagaimanapun, Terengganu masih berupaya menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat dengan mengatur keutamaan dalam perbelanjaan dan berbelanja secara berhemah.

“Inisiatif seperti bantuan tunai untuk menyokong kewangan rakyat yang terjejas dapat disampaikan, peluang pekerjaan dapat diwujudkan dan projek perumahan rakyat serta rumah mampu milik (RMM) juga dapat diteruskan," jelasnya.


Tag: