KUALA NERUS, 30 Julai - Terengganu FC kembali melakar kemenangan pada saingan Liga Super Malaysia 2024/2025 setelah menang tipis 3-2 ke atas Negeri Sembilan FC dalam aksi dramatik di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, malam ini.
Pengendali pasukan, Tomislav Steinbruckner melakukan perubahan dengan merehatkan tonggak tengah, Nurillo Tuskhtasinov dan memberi kepercayaan kepada Akram Mahinan mengemudi 'jantung' pasukan.
Terengganu FC bermula agresif seawal minit pertama permainan.
Duo tengah, Marin Pilj (minit ke-9) dan Manuel Ott (minit ke-11) masing-masing cuba melakukan percubaan dari luar kotak penalti untuk mencari jaringan awal.
Namun, pasukan pelawat terlebih dahulu mengejutkan tuan rumah dengan gol pertama pada minit ke-15 menerusi Miguel Martinez yang menanduk bola hantaran lintang pemain sayap kelahiran Jepun, Takumi Sasaki menerjah jaring.
Ketinggalan 1-0, Sang Penyu cuba bangkit dengan melakukan lebih banyak percubaan ke gawang lawan.
Rembatan Ott sekali lagi tepat ke dakapan penjaga gol skuad Jang, Muhammad Aqil Abdul Razak pada minit ke-20.
Enam minit kemudian, Marin yang melihat ruang terbuka melakukan rembatan deras tetapi ditepis keluar Aqil.
Memasuki minit terakhir permainan, Azam Azmi Murad dijatuhkan di kawasan hadapan kotak penalti, membuka peluang tuan rumah menyamakan kedudukan.
Menepati jangkaan, Safawi Rasid menyempurnakan sepakan percuma untuk menamatkan separuh masa pertama dengan kedudukan 1-1.
Bersambung babak kedua, Terengganu FC menggandakan asakan dengan kemasukan Nurillo dan penyerang, Chijioke Chukwu.
Tidak menunggu lama, Chukwu meletakkan Terengganu FC di depan apabila menanduk masuk gol kedua pasukan hasil hantaran Akhyar Rashid pada minit ke-47.
Negeri Sembilan FC kembali bangkit mengikat kedudukan pada minit ke-53.
Jacque Faye yang menerima bola dalam kotak penalti melakukan 'turning' dan melepaskan rembatan yang menewaskan Syed Nasrulhaq dengan gol kedua Negeri Sembilan FC.
Pada minit ke-58, perlawanan semakin rancak setelah Akhyar Rashid menyudahkan lorongan Marin untuk jaringan ketiga Sang Penyu.
Suasana di stadium semakin hangat dengan kedua-dua pasukan saling mengatur serangan bagi mencetak lebih banyak jaringan.
Bagaimanapun, kedudukan 3-2 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan, menyaksikan Terengganu FC mengutip tiga mata berharga membolehkan pasukan itu mendaki ke tangga ketiga Liga Super Malaysia dengan 11 mata.
Selepas ini, skuad kendalian Steinbruckner akan berkunjung ke Petaling Jaya untuk aksi separuh akhir kedua Piala FA Malaysia.