Terengganu Buat Persiapan Rapi Hadapi Tengkujuh

KUALA TERENGGANU, 19 November - Kerajaan negeri telah melakukan persiapan rapi dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan banjir di Terengganu yang dijangka berlaku dalam beberapa siri gelombang bermula minggu ini sehingga berakhirnya Monsun Timur Laut pada Mac tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa  Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri (Pengurusan Bencana), Hanafiah Mat berkata, semua jentera dan agensi kerajaan telah diarah bersiap sedia menghadapi kemungkinan berlaku banjir di daerah tertentu.

Katanya, bekalan makanan termasuk persiapan logistik, jentera penyelamat dan pusat pemindahan sementara telah disiapkan bagi membolehkan mangsa terbabit diberi bantuan segera sebaik sahaja bencana itu berlaku.

"Selain itu, para petugas seperti Bomba, Angkatan Tentera, Ikatan Relawan Rakyat (Rela), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), polis dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sudah bersedia menghulurkan bantuan segera," jelasnya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Cukai berkata demikian ketika menjawab soalan lisan ADUN Besut, Azbi Salleh dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN), Kelima Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Tambah Hanafiah, sebanyak RM11.27 juta diperuntukkan melalui JPS Terengganu yang merangkumi peruntukan kecemasan luar jangka, risiko banjir, penyelenggaraan kolam takungan banjir serta menaik taraf infrastruktur mekanikal dan elektrikal untuk kawalan banjir.

"Penyelenggaraan dan menaik taraf semua sistem saliran termasuk kolam tangkungan, sistem perparitan, benteng, dan sistem amaran banjir bagi memastikan keupayaan takungan dan struktur saliran berfungsi dengan lebih optimum ketika waktu puncak banjir.

"Ia juga bagi menangani dan mengurangkan risiko banjir yang turut memberi kesan kepada orang ramai," ujarnya.

Selain itu katanya,  penyelenggaraan dan penaiktarafan telah dilaksanakan  ke atas semua struktur sistem saliran termasuk kolam takungan, sistem perparitan, benteng , sistem amaran banjir  dan sebagainya bagi memastikan keupayaan takungan dan kefungsian struktur saliran lebih optimum pada waktu puncak
Menurut beliau lagi, sebanyak 36 aset mekanikal dan elektrik melibatkan 13 unit pam kekal, 21 unit pam bergerak dan dua generator elektrik mudah alih disediakan sebagai persiapan ketika banjir

“JPS  sehingga kini telah mengenalpasti sebanyak 451 lokasi hotspot banjir serta 41 lokasi hotspot air pasang di seluruh Terengganu.

“Ujian juga telah dilaksanakan ke atas 17 siren amaran banjir yang dipasang bagi memastikan dapat berfungsi dengan baik.

“Selain itu, JPS juga akan memantau 132 stesen hidrologi dan lapan kamera litar tertutup (CCTV) di seluruh negeri untuk mendapatkan data-data hujan dan aras air semasa,” katanya.


 


Tag: