KUALA TERENGGANU, 21 Julai - Industri tanaman durian tempatan bakal memperoleh akses pasaran eksport baharu ke China, sekali gus mampu melonjakkan nilai eksport agro makanan itu bermula tahun depan.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim, berkata kerjasama itu dicapai melalui satu sesi pertemuan dan dialog antara Kerajaan Negeri, delegasi Syarikat Vanton International Sdn Bhd dan Mia Nafas Sdn Bhd bersama pekebun durian Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Besut, baru-baru ini.
“ Syarikat Vanton yang beribu pejabat di Shenzen China nak bawa durian kampung dari Terengganu ke pasaran China dan kerajaan negeri berperanan sebagai pemudah cara.
“Bukan Musang King dan bukan Duri Hitam. Hanya durian kampung dari kebun milik orang kampung,”ujarnya dalam satu hantaran di facebook rasminya semalam.
Dr Azman berkata syarikat pengeksport buah-buahan terbesar di China itu akan memetik durian diusahakan pekebun tempatan dengan tahap kematangan 70 peratus masak.
“Kemudian buah durian akan dieksport ke China secara segar. Bukan dengan kaedah pembekuan seperti buah Musang King,”jelas beliau.