KUALA NERUS, 25 Mei - Terengganu FC (TFC) tidak berdepan masalah membenam pasukan Kelantan Darul Naim (KDN) dengan jaringan 3-0 dalam perlawanan Liga Super Malaysia, sebentar tadi.
Pada aksi ‘derbi Pantai Timur’ yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), skuad kendalian Tomislav Steinbruckner turun dengan hasrat mencari kemenangan keduanya dalam aksi saingan liga pada musim ini.
TFC yang bermula garang terus melancarkan serangan ke kubu KDN dengan cubaan berbahaya pada minit ke- 12 menerusi Manuel Ott namun bola sedikit melepasi palang gol.
Memasuki minit ke 36, Skuad TFC dihadiahkan sepakan penalti selepas Muhammad Afzal Akbar menjatuhkan Safawi Rasid dalam kotak penalti.
Penalti itu diberikan selepas pengadil menyemak video bantuan pengadil (VAR).
Penyerang import TFC, Ismaheel Akinade berjaya menyudahkan penalti tersebut sekali gus memastikan Terengganu mendahului satu gol di hadapan.
Pada minit ke 41, pemain tengah TFC, Marin Pilj hampir menambah derita skuad Kijang Emas apabila rembatannya melepasi palang gol hasil hantaran cantik Alif Zakaria.
Berselang empat minit kemudian, Nurillo Tukhtasinov menggamatkan sorakan penyokong tuan rumah dengan gol kedua Terengganu FC melalui umpanan cantik Ubaidullah Shamsul untuk pasukannya mendahului 2-0.
Bersambung babak kedua, tuan rumah tidak menunggu lama untuk mendapat jaringan ketiga selepas Manuel Ott melakukan rembatan deras dari dalam kotak penalti pada minit ke-47 berpunca daripada bola sepakan sudut.
Pada minit 74, TFC sekali lagi hampir memecah kebuntuan gol apabila rembatan kencang Akhyar Rasyid sedikit melepasi palang gol lawan.
Kemenangan 3-0 Terengganu FC ke atas Kelantan Darul Naim menyaksikan TFC kini menghuni tempat kedua dalam kedudukan saingan Liga Super pada minggu ketiga.
Pada perlawanan tersebut, penyokong Terengganu FC dan Kelantan Darul Naim menunjukkan tanda solidariti terhadap Palestin dengan mengibarkan bendera Palestin sepanjang perlawanan berlangsung.
Lebih 13,000 penyokong yang hadir di stadium berkenaan mengibarkan bendera dan sepanduk sebagai tanda sokongan kepada rakyat di negara berkenaan yang ditindas rejim Zonis.