Terengganu Kaji Semula Larangan Jual Hasil Padi

KUALA TERENGGANU, 1 Julai - Terengganu akan mengkaji semula larangan penjualan hasil padi dari negeri ini ke kilang padi negeri lain.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, ia dalam rangka mewujudkan persaingan yang lebih sihat di kalangan pengusaha kilang padi di Terengganu.

“Secara amnya, harga belian padi di Terengganu agak rendah berbanding di negeri lain. Banyak kilang padi di Terengganu membeli padi dengan harga lantai RM1300/mt dalam masa yang sama harga padi di negeri lain sudah mencecah RM1800/mt.

“Kementerian Pertanian hanya menetapkan harga lantai padi RM1300/mt tanpa penetapan harga siling. Terpulang kepada pihak kilang untuk penetapan harga asalkan jangan lebih rendah dari harga lantai,” ujarnya dalam satu hantaran di laman Facebook rasminya, hari ini.

Mengulas lanjut katanya, selaras dengan kenaikan pelbagai kos mengusahakan sawah yang dipikul oleh pesawah, mereka berhak mendapat harga yang lebih tinggi. 

“Peraturan yang melarang penjualan padi ke negeri lain memberikan status ‘quo’ kepada pengilang padi Terengganu untuk kekal dengan harga yang relatif rendah berbanding negeri lain.

“Kerajaan perlu memberikan ruang yang lebih baik kepada pesawah kita,” ujarnya.

Katanya, persaingan sihat perlu dibuka di kalangan pengusaha kilang padi untuk mereka menawarkan tawaran yang terbaik dalam rangka menarik pesawah supaya menjual padi ke kilang mereka.