Tiada Lagi Majlis Keraian Khas Untuk Pelajar Cemerlang SPM 2024
Terengganu Lancar Strategi Ampuh Tangani Isu OKU Mental
KUALA TERENGGANU, 16 April - Kerajaan Negeri Terengganu terus mempamerkan komitmen tinggi dalam memperjuangkan nasib golongan orang kurang upaya (OKU), khususnya OKU kategori bipolar, menerusi pendekatan berperikemanusiaan yang lebih proaktif dan menyeluruh.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim berkata, kerajaan memahami cabaran unik yang dihadapi pesakit bipolar dan tidak meletakkan mereka sebagai penjenayah, sebaliknya sebagai pesakit yang perlu diberi rawatan dan perhatian khusus.
"OKU bipolar ini bukan penjenayah, mereka adalah pesakit.
"Yang penting ialah kawalan keluarga supaya mereka ini mendapat rawatan yang sepatutnya,” katanya ketika menjawab soalan lisan ADUN Buluh Gading, Ridzuan Hashim dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri di Wisma Darul Iman hari ini.
Katanya, kerajaan telah mengadakan mesyuarat khas pada 5 Februari lalu yang melibatkan pelbagai agensi termasuk KKM, JPJ dan PDRM, bagi membincangkan pelan tindakan khas yang lebih bersifat holistik bagi menangani isu OKU mental.
Beliau turut merujuk insiden di Dungun yang melibatkan pelajar UiTM, dan menegaskan pentingnya sokongan keluarga dan masyarakat bagi mengelakkan tragedi berulang akibat keciciran rawatan.
Sebagai langkah jangka panjang, katanya, kerajaan turut melancarkan Majlis Tindakan OKU Terengganu (MTOT) pada 6 Mac lalu, yang berfungsi sebagai pemantau dasar dan pelan tindakan berkaitan golongan OKU.
"Kita mahu buat pengesyoran yang berimpak positif kepada agensi-agensi supaya tumpuan diberi kepada penjagaan, perlindungan, rehabilitasi dan peluang kerjaya untuk OKU," katanya lagi.
Beliau turut mengingatkan bahawa kerajaan tetap tegas terhadap sebarang bentuk keganasan terhadap OKU, dan tindakan undang-undang seperti di bawah Akta 323 akan diambil terhadap mana-mana individu yang melampaui batas.
"Orang awam perlu bertindak lebih waras daripada pesakit.
"Kesabaran ini perlu ditingkatkan kerana kita semua bertanggungjawab dalam membentuk masyarakat yang lebih penyayang dan prihatin," ujarnya.