KUALA NERUS, 29 Jun - Sebanyak RM300,000 setahun disumbangkan kerajaan Terengganu untuk program melabuhkan unjam di sepanjang perairan negeri itu, sejak tahun 2018.
Ini menjadikan Terengganu sebagai satu-satunya kerajaan negeri yang menyumbang untuk program memperkaya hasil laut melalui pelabuhan unjam dengan kerjasama Jabatan Perikanan Malaysia.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, kerajaan negeri melihat program melabuh unjam sebagai satu usaha penting di samping bantuan-bantuan langsung seperti peralatan kecil nelayan dan sebagainya.
“Walaupun bidang ini di bawah kuasa Kerajaan Persekutuan, tetapi kita berkerjasama kerana akhirnya yang mendapat manfaat adalah rakyat kita.
“Melalui program ini, kita dapat bantu nelayan dengan memperkayakan sumber kerana antara isu utama yang membelenggu nelayan kita ialah kekurangan sumber di mana sumber laut Terengganu sudah berada pada paras amaran merah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan penyerahan unjam kepada myKomuniti Perikanan (myKP) di Pulau Redang, hari ini.
Turut hadir, Timbalannya, Hilmi Harun, Pengarah Perikanan Terengganu, Zawawi Ali dan Pengarah Jabatan Pertanian negeri, Zulkepli Amin Mat Jusoh.
Hadir sama, Pengarah Veterinar negeri, Dr. Mohd Termizi Ghazali serta pegawai penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail.
Jelas Dr. Azman, penyerahan itu merupakan simbolik kerajaan bersama komuniti nelayan dalam menguruskan unjam yang dilabuhkan.
“Konsep yang kita buat ialah melabuh unjam secara komuniti, supaya nelayan-nelayan setempat merasakan unjam ini hak mereka dan sama-sama menjaga, serta menjadi mata telinga kita mengawasi keadaan di laut.
“Hari ini kita menyempurnakan program labuh unjam di kawasan Pulau Redang yang merupakan menjadi lokasi pertama bagi tahun 2020,” katanya.
Tambahnya, ia kemudian akan disusuli daerah Dungun (ulangan) dan Kemaman yang merupakan satu-satunya yang masih tidak memiliki pengkalan unjam.
Dalam pada itu, Zawawi menyifatkan kerjasama kerajaan negeri dalam memperkayakan sumber laut Terengganu amat dihargai.
“Program melabuh unjam ini membantu memperkayakan sumber disamping program melabuhkan tukun yang diperuntukkan kerajaan Persekutuan. Ia lebih murah dan cara ini mula mendapat perhatian negeri-negeri lain.
“Di Marang contohnya, tahun berlaku peningkatan hasil ikan kira-kira 30 peratus selepas unjam dilabuhkan,” katanya.