KUALA TERENGGANU, 29 Julai - Terengganu diisytiharkan sebagai kerajaan paling telus membentangkan belanjawan atau pengurusan kewangan berbanding negeri-negeri lain di Malaysia.
Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) dalam satu kenyataan berkata, ketelusan tersebut dinilai menerusi ‘Malaysia Open Budget Index’ (MyOBI).
Jelas IDEAS, MyOBI menilai ketersediaan awam fail belanjawan serta kualiti mekanisme penyeliaan proses bajet melalui penerbitan empat dokumen utama dan tahap perincian yang diberikan dalam anggaran pendapatan dan perbelanjaan.
"Dapatan menunjukkan hanya negeri Terengganu yang menerbitkan kesemua empat dokumen belanjawan dan memberikan butiran terperinci dalam anggaran perbelanjaan serta hasil.
"Penilaian ini dibentuk berdasarkan piawaian yang ditetapkan dalam Tinjauan Belanjawan Terbuka (OBS), satu penilaian antarabangsa berasaskan fakta untuk mengukur ketelusan belanjawan," ujar kenyataan itu.
Tambah IDEAS, ketelusan amat penting terhadap kerajaan negeri kerana mereka menyediakan kemudahan-kemudahan asas, perkhidmatan awam, dan rangsangan kepada pembangunan ekonomi pada peringkat tempatan.
"Rakyat mempunyai hak untuk mengetahui cara kerajaan negeri memperuntukkan dan membelanjakan sumber awam," ujar kenyataan itu.
Sementara itu, menurut Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS, Tricia Yeoh, pihaknya tidak melakukan penilaian ini bersendirian sebaliknya telah bekerjasama dengan beberapa organisasi masyarakat sivil dan individu berfikiran sivik untuk menjalankan dan menyemak penilaian tersebut.
"Untuk turut mengukur kualiti penyeliaan, MyOBI menilai penglibatan Dewan Undangan negeri (DUN) termasuk Jawatankuasa Kira-Kira Wang (PAC) dalam menilai dokumen belanjawan.
"Lima negeri - Selangor, Negeri Sembilan, Perak, Johor dan Sabah - telah menerbitkan tiga jenis dokumen belanjawan penting, tetapi tidak memberikan tahap perincian yang sama seperti Terengganu dalam anggaran perbelanjaan dan hasil mereka,” tambah Tricia.