Pentadbiran Masjid Perlu Lapor Jika Ada Ajaran Meragukan - Sultan Mizan
KUALA TERENGGANU, 15 Oktober- Kerajaan negeri melalui Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) mengalu-alukan atlet bukan Muslim kelahiran negeri Terengganu menyertai sukan gimnastik, gimrama, renang dan seangkatannya bagi mewakili negeri berkenaan dalam Sukan Malaysia (Sukma).
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Hishamuddin Abdul Karim berharap, akan muncul atlet bagi sukan-sukan berkenaan dalam kalangan enam peratus rakyat bukan Muslim di negeri itu.
"Bagi sukan gimnastik, gimrama dan semua ini kita telah putuskan pada penggal lalu lagi untuk tidak membenarkan penyertaan atlet Muslimah. Adapun bagi mereka yang bukan Muslim dan hendak sertai, MSNT akan memberi sokongan dan membantu dari aspek latihan.
"Sebelum ini kita (kerajaan negeri) telah berusaha untuk mencari kaedah pemakaian sesuai, namun ia terikat dengan undang-undang sukan tersebut. Jadi, pemakaian yang dihasilkan masih lagi tidak menepati piawaian syariah.
"Walaupun ada pelbagai komen dari banyak pihak, kami ambil pendirian untuk tidak hangatkan perkara tersebut. Pendirian kita juga cukup jelas, kita sudah ada garis panduan dan di dalamnya, ada yang fleksibel serta ada yang kita ambil ketegasan kerana kita tidak boleh berkompromi dengan perkara tersebut," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Sambutan Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Terengganu di Dataran Batu Buruk, semalam.
Tambahnya, garis panduan yang diwujudkan oleh kerajaan negeri Terengganu sebenarnya diambil dari garis panduan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), cuma perbezaannya ialah kerajaan negeri cuba melaksanakan perkara itu pada sudut dan kemampuan yang ada.
Hishamuddin turut menafikan tindakan satu-satunya atlet gimnastik Terengganu pada Sukma 2022, Tok Exin berhenti mewakili negeri disebabkan garis panduan yang dikuatkuasakan.
Jelasnya, pihak MSNT menyediakan sokongan dan keperluan bahkan, atlet berkenaan pernah berlatih di bawah jurulatih yang dibawakan dari China semasa di Terengganu.
"Tidak timbul soal beliau tidak mendapat sokongan, tetapi beliau tidak meneruskan hasrat kerana menumpukan perhatian kepada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), itu yang disampaikannya kepada pihak MSNT.
"Beliau atlet bukan Muslim dan telah berada di bawah jagaan MSNT sehingga penggal lalu. Itu buktinya kita menyediakan keperluan dan menyokong.
"Apa yang perlu ditimbulkan sekarang ini, tak akanlah dalam ramai bukan Muslim di negeri Terengganu, tidak ada yang berminat menyertai gimnastik? Begitu ramai bukan Muslim di Terengganu pun tiada yang berminat bermain gimnastik, tak akanlah kita hendak paksa orang Muslim? Pada kita jika ada, kita (MSNT) akan membantu dan memberi dorongan," tegasnya.
Dalam pada itu, beliau menganggap hasrat Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh untuk bertemu Persatuan Gimnastik Terengganu (PGNT) adalah pertemuan antara kerajaan dan persatuan semata-mata.
"Menteri hendak berjumpa, kita alu-alukan. Kita tiada sebarang halangan kerana pertemuan itu antara kerajaan dan persatuan. Setakat penggal baru ini, masih belum ada komunikasi antara saya dan persatuan cuma pada penggal lepas telah ada (penjelasan tentang perkara ini) melalui YB Wan Sukairi Wan Abdullah (exco terdahulu)," katanya.