Terengganu Rebah Dilanggar Sang Badak

KUALA NERUS, 24 November- Terengganu FC mempamerkan aksi longlai dalam cuaca hujan apabila tewas 0-4 ditangan Sabah pada perlawanan Liga Super Malaysia di halaman sendiri, malam tadi.

Pengendali Sang Penyu, Tomislav Steinbruckner sejak awal sudah menjangkakan aksi sukar berikutan terpaksa melupakan khidmat empat pertahanan utamanya yang mengalami kecederaan.

Membariskan tiga tonggak pertahanan menentang pasukan keempat liga itu, Terengganu FC bolos seawal minit keenam hasil jaringan Ramon Machado yang menyambar bola lintang Rizal Ghazali dengan sepakan menarik.

Tuan rumah cuba bangkit menerusi kapten pasukan, Habib Haroon tetapi rembatan dari luar kotak penalti itu melangkaui pintu gol lawan.

Sang Badak hampir menjarakkan kedudukan pada minit ke-11, namun rembatan Park Teasu diselamatkan tiang gol.

Bagaimanapun, Sabah berjaya menambah jaringan hasil gerakan solo pemain kebangsaan Indonesia, Saddil Ramdani sebelum beliau melakukan rembatan kencang dari luar kotak penalti pada minit ke-29.

Sepuluh minit kemudian, Sang Badak terus mengganas apabila Miguel Cifuentes menyudahkan umpanan Rizal untuk gol ketiga pelawat.

Terengganu FC nyaris bolos lagi pada minit ke-43, tetapi Suhaimi cemerlang menafikan peluang satu lawan satu berdepan Ramon Machado.

Sabah FC mendahului tiga gol sehingga tamat separuh masa pertama.

Memasuki babak kedua, pelawat sekali lagi menunjukkan taringnya apabila Jafri Chew yang menggantikan Saddil menjaringkan gol keempat perlawanan pada minit ke-47.

Tuan rumah cuba bangkit dengan menggandakan asakan.

Pada minit ke-73, pemain muda meningkat naik, Muslihin Atiq cuba memecahkan kebuntuan pasukan, namun rembatannya ditampan penjaga gol lawan, Khairul Fahmi Che Mat.

Keputusan kekal tanpa jaringan tambahan sehingga wisel penamat dibunyikan.

Selepas ini, Terengganu FC akan berkunjung ke Australia menentang Central Coast Mariners FC dalam saingan Piala AFC.

Kredit foto: Terengganu FC 

 


Tag: