Terengganu Sambut Maal Hijrah Dalam Norma Baharu

MARANG, 10 Ogos - Terengganu melancarkan Sambutan Maal Hijrah peringkat negeri dengan pendekatan norma baharu. 

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, peristiwa penghijrahan ini sangat besar ertinya dalam sejarah perkembangan dakwah dan ketamadunan Islam.

"Peristiwa ini merupakan langkah perubahan dalam perjuangan untuk menegakkan agama, mendaulatkan syariat dan bernegara serta mendirikan akhlak kemanusiaan yang terpuji.

"Islam sangat menekankan perubahan yang tidak hanya terhad kepada sifat dan tingkah laku manusia, malah turut memerlukan perubahan minda atau pemikiran dalam kehidupan.

"Perubahan inilah yang menjadi agenda Rasulullah SAW untuk membawa ummah daripada sistem kehidupan yang bercorak jahiliah yang penuh dengan kekufuran dan kezaliman kepada sistem kehidupan yang berpaksikan manhaj rabbani yang penuh keimanan, keadilan dan kesejahteraan sejati," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Terengganu Tahun 1443H/2021M secara maya semalam.

Ahmad Samsuri berkata, rabbani membawa pengertian yang lebih luas, seseorang itu hendaklah menjadikan Allah sebagai keutamaan dan panduan dalam segala amalan, perbuatan dan matlamat hidup serta diniatkan semata-mata keranaNya.

"Ummah yang meletakkan ciri rabbani sebagai jalan kehidupan melalui rujukan terhadap al-Quran dan Sunnah sudah semestiya dapat menjalani kehidupan yang berkualiti di dunia bagi menjamin kejayaan hakiki di akhirat," katanya.


Tag: