Terengganu Sebelah Kaki ke Separuh Akhir Piala FA

KUALA TERENGGANU, 28 Jun - Terengganu sebelah kaki ke separuh akhir Piala FA selepas mengaibkan Sabah dengan jaringan 4-0 pada saingan suku akhir 1 Piala FA di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus sebentar tadi.

Manuel Ott muncul wira sang penyu apabila menjaringkan satu gol dan dua bantuan gol di hadapan hampir 16 ribu penyokong.

Sang Badak yang dibarisi ramai pemain kebangsaan terlebih dahulu melancarkan serangan ke kubu Terengganu, namun ketenangan pertahanan tuan rumah menghampakan pelawat.

Tersentak dengan amaran Sabah, skuad kendalian Badrul Afzan membalas dengan beberapa gerakan menarik.

Hasilnya, pada minit ke-9, kombinasi satu dua Safawi Rasid dan Manuel Ott memerangkap Dominic Tan sekali gus membolehkan Ott menjaringkan gol pembukaan dengan 'taping' mudah.

Sabah memberi respons dengan serangan pantas, namun percubaan, Telmo Castanheira, Saddil Ramdani dan Ramon Machado tersasar dari pintu gol sang penyu yang dikawal Syed Nasrul Haq.

Sedang rancak anak buah Ong Kim Swee mencari jaringan penyamaan, Terengganu melakukan serangan balas yang menghasilkan jaringan kedua pada minit ke-37.

Gerakan Azam Azmi dan Ott yang tenang memperdaya dua pertahanan Sabah berjaya disudahkan Ismaheel Akinade.

Belum sempat Sabah memperkemaskan permainan, berselang lima minit kemudian, stadium kembali bergema dengan sorakan tuan rumah selepas rembatan separa voli Marin Pilj menewaskan Khairul Fahmi buat kali ketiga.

Gol itu hadir hasil hantaran silang Azam yang gagal dikeluarkan dengan sempurna oleh pertahanan Sabah.

Jaringan itu ternyata melenyapkan semangat Sabah hingga membolehkan Terengganu terus menguasai permainan.

Kelalaian itu membawa padah, Terengganu menambah derita Sabah dengan gol keempat pada masa tambahan separuh masa pertama.

Akinade menutup mulut pengkritik apabila rembatan kaki kirinya hasil hantaran Ott memberi bekalan selesa untuk skuad penyu mengakhiri babak pertama.

Bersambung babak kedua, Terengganu menukar strategi dengan mengendurkan sedikit permainan dan menanti serangan balas.

Ini menyaksikan Sabah mendominasi permainan dengan beberapa peluang untuk menjaringkan gol, namun ketumpulan barisan depan menghampakan peminat Sabah.

Pada minit ke-70, hasil serangan bertubi-tubi, skuad Borneo itu hampir memecah kebuntuan, namun pengadil membatalkan jaringan Machado selepas dikesan terlebih dahulu menolak Safwan Mazlan.

Terengganu yang sesekali menyerang kubu Sabah turut mendapat peluang pada minit ke-84 dan 85 menerusi Nurillo Tukhtasinov dan Azam Azmi, tetapi dinafikan Khairul Fahmi.

Beberapa minit sebelum perlawanan tamat, Sabah melancarkan serangan bertali arus, namun masih gagal menewaskan Syed Nasrul Haq,
keputusan 4-0 kekal hingga wisel penamat sekali gus menyaksikan Terengganu membawa bekalan selesa ke Likas Sabtu depan.


Tag: