Terengganu Sertai 36 Acara di SUKMAXXI Sarawak

KUALA NERUS, 6 Disember - Terengganu dijangka menyertai 36 daripada 37 acara Sukan Malaysia (SUKMA) XXI di Sarawak tahun depan bagi merampas kejuaraan sukan berprestij itu dari negeri Johor.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamudin Abdul Karim berkata, sasaran emas adalah dirahsiakan bagi mengelakkan pasukan lawan mengatur langkah bagi mengekang kemaraan Terengganu menjuarai semula sukan tersebut.

Beliau berkata demikian di Sidang Media selepas merasmikan Majlis Perhimpunan Kontinjen Terengganu SUKMA XXI Sarawak 2024 di Dewan Jubli Perak, Kompleks Pentadbiran, Bandar Al Wathiqu Billah di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri Ustaz Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Ahmad Shahrizal Yahaya.

Terdahulu dari itu dalam ucapan perasmiannya, Ustaz Hishamudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepuh berkata atlet SUKMA Terengganu kini memasuki latihan Fasa kedua dan akan diikuti dengan latihan fasa ketiga sedikit masa lagi.

"Dalam fasa ini atlet didedahkan dengan pertandingan yag banyak dan pemilihan pertandingan bersesuaian sangat penting terutama untuk membuat penilaian sebenar sama ada pasukan kita atau pasukan lawan lebih baik," jelasnya.

Katanya dalam fasa tersebut juga ada kemungkinan kerajaan akan membenarkan  latihan dan pertadingan di luar negara.

"Namun begitu jurulatih perlu pandai memilih pertandingan di luar negara yang berkualiti, sesuai dengan keperluan dan tahap atlet kita," ujarnya.

Pendedahan sebegini katanya mampu melonjakkan prestasi atlet terpilih terutama atlet sasaran emas.

Hishamudin menjelaskan bahawa Terengganu perlu menyorok prestasi sebenar etlet negeri dengan mengurangkan penyertaan dalam kejohanan dalam negara sekali gus lebih mendedahkan pertandingan di luar negara.

"Ini bagi memastikan pasukan lain tidak dapat menjangka kekuatan kita (atlet Terengganu) sehinggalah pada hari kejohanan sebenar," tambahnya.


Tag: