MARANG, 7 Jun- Dalam krisis yang mencetuskan keselamatan makanan (food security), diam-diam negeri Terengganu telah berada di landasan terbaik untuk muncul sebagai negeri pengeluar makanan.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Luar Bandarnya, Dr. Azman Ibrahim berkata, sejak sebelum krisis melanda sebenarnya kerajaan negeri telah melaksanakan Pelan Strategik Terengganu 2019-2023 untuk menjadikan negeri pesisir pantai itu sebagai negeri pengeluar makanan.
"Sebelum orang lain bercakap tentang 'food security', Terengganu telah bercakap tentang perkara ini dan kita sedang bergerak sebagaimana dirancang.
"Sebagai contoh bahan makanan asas kita iaitu beras padi. Pada tahun 2018, penghasilan kita ada sebanyak 43 peratus, tetapi setahun kemudian kita berjaya naik kepada 48 peratus. Manakala, pada tahun 2020 kita meningkat kepada 53 peratus dan tahun lalu, kita berjaya capai penghasilan beras padi pada 55 peratus, cuma kurang satu peratus dari sasaran asal," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Minuman Isotonik Terengganu di Dataran Batu Putih, hari ini.
Tambahnya, selain peningkatan hasil daripada pertanian, program memperkaya sumber perikanan turut menampakkan hasil apabila data tangkapan ikan yang direkodkan daripada Januari sehingga April baru-baru ini menunjukkan peningkatan sekitar 10 peratus.
"Begitu juga dengan bekalan ayam yang menjadi isu utama ketika ini. bekalan ayam di negeri kita kini adalah sebanyak 64 peratus dan hanya 30 peratus lebih sahaja dibawa dari luar.
"Namun, kita berusaha membangunkan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) di Telaga Papan, Setiu sebagai Zon Penternakan Unggas dan kita mempelawa pemaju-pemaju untuk melabur dengan infrastruktur asas yang telah tersedia bagi meningkatkan bekalan sedia ada," katanya.
Selain itu menurutnya, kerajaan negeri juga sedang berusaha mewujudkan kilang makanan ternakan bagi menyelesaikan masalah sumber makanan ternakan di Bukit Kor, Marang.
"Kilang ini akan dibangunkan hasil usahasama anak syarikat kerajaan negeri dan swasta yang mana kita akan memanfaatkan sehingga 80 peratus sumber bahan mentah sedia ada.
"Isu peningkatan harga makanan ternakan adalah disebabkan kebergantungan keterlaluan kita kepada bahan mentah yang diimport iaitu di antaranya jagung bijian dan juga kacang soya.
"Jadi, jagung bijian akan kita ganti dengan esktrak sisa isi rung kelapa sawit (PKC) dan sumber protein kacang soya pula akan digantikan dengan isi ikan tilapia yang menjadi satu daripada sumber protein di samping kita manfaatkan sumber tempatan," katanya.