• 08 Sept 2024 | 4 Rabiul Awal 1446

Terengganu Terima Geran PKS Tertinggi




Terengganu menerima Geran Peningkatan Perusahaan Kecil Dan Sederhana (PKS) dan Program Peningkatan Enterpris Bumiputera (BEEP) yang tertinggi di seluruh negara, iaitu berjumlah RM27.29 juta sehingga Disember 2016.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan berkata, geran kepada usahawan PKS itu merupakan contoh bantuan kepada pengusaha Bumiputera yang menjadi tunggak kepada ekonomi negara.

Katanya, jumlah tersebut daripada RM221 juta dana keseluruhan membabitkan 1,518 syarikat PKS seluruh negara.

"Sebanyak 97.3 peratus daripada entiti perniagaan dikumpulkan di bawah PKS berbanding syarikat hanya 2.7 peratus.

"Geran ini dikendalikan oleh SME Corp untuk membantu PKS Bumiputera dan  sehingga kini, terdapat 645,000 syarikat PKS seluruh negara,"katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke Kilang RMK Timur Qaseh Sdn Bhd di Ajil,Hulu Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Tugas-Tugas Khas negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Ghazali Taib, Pengarah SME Corp,Muhammad Ibrahim dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pembangunan Usahawan, Dr Tengku Khairi A.Rahman



Sementara itu, RMK Timur Qaseh Sdn Bhd merupakan penerima geran BEEP sebanyak RM117 ribu dan bakal menerima bantuan tambahan Galakan Eksport Bumiputera (GEP) kerana berjaya memasuki eksport ke Singapura.

Syarikat yang dimiliki Rokiah Koyakutty berjaya mengeksport biskut ke luar negara seperti China dan setakat ini berjaya menghasilkan 31 jenis biskut yang mendapat tempat di pasaran dalam dan juga luar negara.

Menurut Ahmad, Melaka merupakan negeri kedua menerima geran tertinggi, iaitu RM24.1 juta diikuti Penang sebanyak RM16.9 juta.

Sebelum itu,  beliau yang juga Pengerusi Biro Tekbnologi Maklumat (IT) UMNO Malaysia meluangkan masa satu jam bersama Jawatankuasa Biro IT empat peringkat UMNO Bahagian Hulu Terengganu di Dewan Engku Mohsein.

Ahmad Maslan turut membincangkan isu semasa serta peranan Biro IT yang dilaksanakan bagi memperkasakan parti UMNO untuk mencapai kemenangan besar dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 nanti.

Tag: