• 03 Jul 2024 | 26 Zulhijah 1445

Terengganu Terima Peruntukan RM1 Juta Bagi Projek Bandar Selamat

MARANG, 30 Jun- Sebanyak RM1 juta diperuntukkan Kerajaan Persekutuan bagi pelaksanaan projek bandar selamat di Terengganu tahun ini.

Ketua Pengarah Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia), Dr Alias Rameli berkata, peruntukan tersebut disalurkan kepada dua pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini iaitu Majlis Daerah Besut dan Majlis Daerah Marang dengan pecahan RM500,000 bagi setiap PBT.

"Ia bagi mempertingkatkan kemudahan dan ciri-ciri bandar selamat di kawasan  pentadbiran terbabit.

"Sekali gus memudahkan rakyat untuk mendapatkan akses kepada kemudahan kesihatan yang baik, pendidikan, alam sekitar yang bersih, tempat tinggal selamat, kawasan beriadah dan persekitaran kerja selesa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Perasmian Program Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) yang disempurnakan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja di Taman Rekreasi Pulau Kekabu di sini, hari ini.

Menurut beliau, Kerajaan memperkenalkan ANMS di bawah teraju Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bertujuan menjadikan Rakyat Malaysia Sihat Sejahtera.

"KPKT melalui Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) telah diberi mandat bagi pelaksanaan Teras Ke-4 ANMS iaitu Memantapkan Kebersihan Persekitaran dan Strategi Ke-10 bagi mewujudkan persekitaran yang menyokong kesihatan melalui pembudayaan cara hidup sihat di dalam kehidupan seharian dan kelestarian persekitaran yang sejahtera.

"Perancangan bandar sangat terkait dengan kesihatan kerana visi utama perancangan sesebuah bandar antara lainnya adalah untuk mewujudkan persekitaran yang harmoni dan sejahtera," ujarnya.

Mengulas lanjut katanya, pelaksanaan Projek Showcase Bandar Sihat oleh KPKT telah bermula pada tahun 2015 di mana ia mula dilaksanakan di Bandar Kluang, Johor dan Bandaraya Kuala Terengganu.

"Kemudian projek ini diteruskan pada tahun 2021 di Bandar Jerantut di Pahang, Ampang Jaya di Selangor dan di Kulim, Kedah," jelasnya.

Katanya, pada tahun ini, peruntukan sebanyak RM300,000 telah disediakan oleh KKM untuk melaksanakan program ANMS di bandar-bandar terpilih di Malaysia. 

"Daripada jumlah itu, sebanyak RM105,000 disediakan khusus untuk program kita pada hari ini bagi memastikan matlamat ANMS tercapai khususnya di Bandar Marang ini.

"Bandar Marang merupakan antara empat buah bandar paling bahagia di Negeri Terengganu dengan skor sebanyak 87.27 peratus berdasarkan Indeks Kebahagiaan Tahun 2023 yang dinilai melalui Program Jaringan Penunjuk Pembangunan Mampan BandarLuar Bandar (MURNINets). 

"Pencapaian ini telah dijadikan salah satu kriteria pemilihan Bandar Marang sebagai sebuah bandar sihat di Malaysia," ujarnya.