Sidang Kemuncak Antarabangsa Terengganu Kecam Genosid di Palestin
Terima kasih Ustaz Atas Kecaknaan
Oleh : Azhar Yusof
HULU TERENGGANU, 12 Jun - "Terima kasih Ustaz, kerana ustaz sudi datang memberi kata kata semangat dan motivasi pada kami," kata Orang Kena Pengawasan (OKP), yang hanya mahu dikenali sebagai Faizal.
Dia melahirkan rasa terharu dengan kesudian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Ustaz Maliaman Kassim hadir slot Program Agama dan Kerohanian walaupun mengetahui tentang sejarah hitam mereka yang hadir.
Malah dia juga berkongsi kisah permulaan bagaimana penglibatannya dengan pil kuda.
Jelasnya, dia mengambil pil kuda kerana mengalami masalah peribadi pada umur 23 tahun ketika bergelar penuntut di sebuah Universiti Awam yang menyebabkanya tercicir dalam pembelajaran.
"Pada mulanya, memang berasa hilang segala masalah tetapi selepas itu, menjadi sangat letih dan lemah. Lepas itu mula menggandakan pengambilan pil kuda dan lama-kelamaan, dah tidak boleh mengawal diri dan terus menjadi hamba dadah," katanya kepada wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) ketika ditemui selepas program berkenaan, semalam.
Faizal yang kini berumur 37 tahun sedang menjalani pemulihan bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) .
Sementara itu, Pengerusi ( JKPD) Jawatankuasa Pemulihan Dadah Hulu Terengganu yang juga ADUN Ajil, Ustaz Maliaman Kassim berkata kolaborasi agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan menerusi program itu juga diharap akan membangunkan model baharu dengan tindakan lebih berkesan dalam menangani penyalahgunaan dadah di negara ini.
“Terjebaknya dengan najis dadah amat memberi kesan terhadap kehidupan segelintir belia .Kebanyakkannya bermula akibat pengaruh rakan sebaya membuatkan mereka terjebak dengan aktiviti tersebut seawal bangku persekolahan lagi.
"Walaupun mereka kurang disenangi masyarakat, mereka sentiasa mendapat perhatian dari kerajaan melalui AADK yang memainkan peranan penting dalam membantu mereka keluar dari masalah penggunaan dadah disamping menjadikan mereka mempunyai modal insan yang berguna," ujarnya lagi.
Jelasnya, dinamika penyalahgunaan dadah ini adalah sangat kompleks kerana ada yang terjebak kerana kemiskinan, sebab membesar di kalangan orang yang menghisap dadah, dan kitaran yang tidak baik ini akan berterusan.
“OKP ini mahu berubah, tetapi memerlukan sokongan ahli keluarga dan masyarakat di mana melalui program sebegini memberi kesedaran bahawa masyarakat masih menerima mereka.
"Sebab tu lah peranan kita yang ‘sihat’ ni penting. Bukan dengan memaksa, tapi dengan memberi perhatian, mendengar, dan memahami jiwa dan fizikal mereka-mereka yang terperangkap dalam penyalahgunaan dadah ini," katanya.